suria

Penyanyi dangdut Indonesia, Chacha Sherly meninggal dunia selepas koma akibat kemalangan jalan raya

Chacha menghembuskan nafas terakhir di usianya 29 tahun.

BERITA sedih buat dunia hiburan di Indonesia apabila penyanyi dangdut iaitu Chacha Sherly meninggal dunia pada Selasa.

Memetik laporan Kompas, berita pemergiaan Chacha disahkan oleh pengurusnya iaitu Chorus Okky menerusi mesej yang dihantar secara ringkas.

"Iya (meninggal dunia)," kata Chorus Okky yang berasa sangat sedih dengan pemergian penyanyi yang diuruskannya itu.

Bekas ahli kumpulan terkenal Trio Macan itu menghembuskan nafas terakhir selepas koma akibat terlibat dalam kemalangan kereta pada Isnin.

Ketika kejadian, sebuah kenderaan dilaporkan hilang kawalan sebelum berpusing dan terbabas.

Enam kenderaan yang mengikuti di belakang kemudian merempuh kenderaan itu termasuk kereta dinaiki penyanyi lagu Ah Kamu (Anumu) itu.

Menurut polis, penyanyi berusia 29 tahun itu antara dua daripada mangsa kemalangan yang parah dan dikejarkan ke hospital.

Chacha pernah menganggotai kumpulan Trio Macan pada 2011 sebelum bergerak secara solo pada Oktober 2019.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain