PELAKON Kim Soo Hyun, 33, dilaporkan telah menolak tawaran untuk membintangi siri drama thriller terbitan Netflix Korea Selatan berjudul Finger. Impian peminat untuk menyaksikan Soo Hyun beraksi dalam drama genre thriller terpaksa dilupakan berikutan pendedahan yang dibuat agensi pengurusan aktor tersebut, Gold Medalist Entertainment pada Rabu. Walau bagaimanapun, agensi tersebut tidak menyatakan sebab kenapa Soo Hyun menolak untuk membintangi drama tersebut. Finger yang bakal diarahkan oleh Jung Ji Woo kini dalam misi mencari hero gantian lain berikutan penolakan aktor yang popular dengan siri drama It's Okay To Not Be Okay itu. Watak utama drama tersebut mengisahkan tentang seorang pembunuh psiko yang diambil inspirasi daripada filem barat, American Psycho, diterbitkan pada tahun 2000. Dalam pada itu, Gold Medalist Entertainment berkata Soo Hyun kini dalam proses sedang meneliti beberapa tawaran lain yang diterimanya sebelum kembali aktif semula di set penggambaran. - Soompi Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!