PEMILIHAN pelakon Raffi Ahmad menjadi selebriti terawal menerima suntikan vaksin Covid-19 bertujuan untuk mendorong generasi muda menyertai program vaksinasi nasional. Menurut laporan CNN, pegawai kesihatan yang mengurus program berkenaan iaitu Doktor Reisa Kartikasari berkata pemilihan Raffi itu bertepatan dengan sasaran mereka iaitu golongan muda atau milenial. “Raffi Ahmad hadir sebagai wakil kaum milenial supaya boleh jadi inspirasi untuk meyakinkan mereka terhadap keperluan vaksin. “Secara tak langsung menjayakan program vaksinasi di Indonesia, ” katanya. Pada Rabu, Raffi menerima suntikan vaksin bersama pegawai kerajaan termasuklah Presiden Indonesia Joko Widodo di Istana Merdeka. Sebelum itu, Raffi ada memuat naik bukti dia menjadi salah seorang penerima vaksin terawal di Indonesia dengan berkongsi kad biru bertulis Vaksinasi Perdana Covid-19 bertarikh 13 Januari 2021. Dia turut menunjukkan kad undangan dari istana bersama syarat dan peraturan sebelum hadir iaitu dengan menyertakan hasil ujian calitan terbaharu serta menggunakan pelitup muka. Selain Raffi Ahmad, nama penyanyi Bunga Citra Lestari antara disebut bakal menerima vaksin terawal, namun pihaknya memaklumkan masih belum mendapat perkhabaran itu. “Sampai sekarang tak tahu apa-apa lagi, belum ada rancangan ke Istana... belum ada khabar sampai sekarang,” kata pengurus BCL iaitu Doddy. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!