suria

Inul Daratista minta Presiden Jokowi beri keutamaan orang miskin terima vaksin Covid-19 - “Yang kaya mengalah dulu!”

Inul beri cadangan supaya kerajaan utamakan rakyat miskin terima suntikan vaksin Covid-19.

PENYANYI dangdut Indonesia, Inul Daratista menyarankan agar pemberian vaksin Covid-19 diutamakan kepada rakyat yang kurang berkemampuan.

Menurut laporan KapanLagi, Inul berkata kekangan kewangan menyebabkan mereka yang miskin sukar mendapatkan rawatan jika dijangkiti virus tersebut.

Justeru itu, lebih baik mereka ini diberikan vaksin terlebih dahulu bersama petugas barisan hadapan.

"Bayangkan jika yang dijangkiti itu orang yang tidak mampu? Mereka dengan gejala menakutkan... yang ada duit bolehlah dapatkan ubat-ubatan bagus, doktor terbaik kerana mereka boleh bayar.

“Tetapi jika mereka tidak banyak wang, hidup sekadar cukup-cukup... jangankan nak beli ubat, nak buat makan pun berkira-kira. Sesak nafas, mereka tak mampu beli ubat atau nak dapatkan rawatan ya Innalillah!

"Terima kasih Pak Presiden Jokowi bawa vaksin untuk kita semua. Selain pasukan kesihatan utamakan golongan yang tak mampu dulu, yang kaya tunggu! Mengalah dahulu!” katanya.

Sementara itu, penyanyi lagu Goyang Inul ini berkata usaha mengekang penularan wabak Covid-19 adalah tanggungjawab bersama dan tidak boleh dipandang remeh.

"Vaksin sudah kita dapatkan tapi bahaya Covid jangan pernah dianggap remeh! Ketika kita tidak mempunyai tanggungjawab dan hidup santai berdepan virus ini tanpa sedar telah menjangkiti orang lain, ” ujarnya.

Indonesia merupakan antara negara di Asia yang sudah menerima vaksin Covid-19 dan memulakan program vaksinasi perdana pada 13 Januari lalu.

Presiden Jokowi menjadi orang pertama yang disuntik vaksin tersebut. Selain itu, golongan selebriti iaitu Raffi Ahmad dan Ariel Noah turut menjadi penerima terawal.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain