PELAKON yang juga bekas ahli gusti profesional, Dwayne Johnson atau The Rock, 49, tidak menolak kemungkinan akan bertanding jawatan presiden Amerika Syarikat (AS) di masa akan datang. Menurut Dwayne dia akan mempertimbangkan perkara tersebut sekiranya itu yang dipinta oleh rakyat negara itu. "Saya mungkin akan pertimbangkan untuk bertanding jawatan presiden di masa akan datang jika itu yang dimahukan orang ramai. "Saya benar-benar maksudkannya dan tidak main-main dengan jawapan ini," katanya. Dwayne ketika ini sedang dalam rangka promosi untuk siri terbaharu terbitan NBC yang berjudul Young Rock. Siri itu dibikin berdasarkan kehidupan sebenar Dwayne termasuk satu episod memaparkan dia bakal melancarkan kempen bertanding untuk jawatan presiden AS pada tahun 2032. Jika dia benar-benar membabitkan diri dalam bidang politik di masa depan, Dwayne berkata semua itu adalah di atas permintaan daripada orang ramai. "Sekiranya mereka memilih saya, saya akan sentiasa mendengar permasalahan rakyat bermula daripada akar umbi," katanya. Pelakon filem Jumanji itu sebelum ini menunjukkan sokongan kuat terhadap kempen pemilihan presiden Joe Biden. Joe telah dipilih mengetuai negara Uncle Sam pada 3 November lalu dan pada 20 Januari lepas dia secara rasmi telah memegang tampuk pemerintahan AS bersama-sama timbalannya, Kamala Harris. - Independent.co Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!