suria

Sekali lagi digandingkan dalam Layla Majnun, Reza Rahadian puji lakonan cemerlang Acha Septriasa

Layla Majnun filem ketiga gandingan Reza Rahadian dan Acha Septriasa.

SELEPAS hampir tujuh tahun tidak bekerjasama, Reza Rahadian, 34, sekali lagi digandingkan dengan aktres Acha Septriasa, 32, menerusi filem terbaharu, Layla Majnun.

Layla Majnun yang ditayangkan di saluran Netflix bermula 11 Februari lalu merupakan filem arahan Monty Tiwa.

Berkongsi pengalamannya kembali bekerja dengan Acha, Reza berkata dia sangat menyanjung bakat yang dimiliki pelakon kecil molek itu.

"Dalam filem ini banyak penggunaan kata-kata puitis yang jarang-jarang sekali kita tuturkan dalam kehidupan seharian.

"Saya puji Acha kerana berjaya membawakan wataknya yang penuh bait-bait dialog puitis dengan begitu baik sekali tanpa sedikit pun berasa janggal.

"Bersyukur saya dapat rakan gandingan sebegitu yang berupaya menjadikan dialog itu kelihatan sedap didengar seperti mana yang dituntut produksi filem ini," katanya.

Filem Layla Majnun adalah karya ketiga gandingan Reza dan Acha selepas filem Test Pack: You're My Baby pada 2012 dan The Strawberry Surprise yang diterbitkan pada 2014.

Layla Majnun yang turut menjalani penggambaran di Azerbaijan mengisahkan tentang Samir, pemuda Azerbaijan lakonan Reza yang jatuh cinta pada gadis Indonesia, Layla (Acha).

Cinta mereka terhalang ekoran perkahwinan Layla yang sudah diaturkan oleh keluarganya di Indonesia. - Liputan6

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain