PELAKON Cameron Diaz menyatakan dia tidak mempunyai sebarang perancangan untuk kembali aktif berlakon selepas muncul dalam filem terakhir lakonannya, Annie yang diterbitkan pada tahun 2014. Cameron, 49, mengakui dia kini seronok menjaga sendiri anak perempuannya, Raddix yang dilahirkan pada Disember 2019. Aktres itu berkahwin dengan ahli kumpulan Good Charlotte, Benji Madden pada Januari 2015. Selain sibuk menguruskan keluarga, Cameron juga kian aktif mengusahakan perniagaan wain organik, Avaline yang diusahakannya bersama rakan niaga, Katherine Power. "Saya kini sibuk uruskan perniagaan Avaline, selain daripada menguruskan hal rumah tangga. Mengurus suami dan Raddix merupakan pekerjaan yang paling seronok saya pernah lakukan sepanjang kehidupan saya. "Ia memang perkara yang sangat saya nanti-nantikan sebelum ini dan akhirnya ia sudah tercapai (untuk bergelar isteri dan ibu)," katanya. Walaupun seakan-akan sudah memberikan bayangan ingin 'berhenti' daripada arena seni lakon, namun Cameron tidak mampu menolak sekiranya terdapat tawaran menarik untuk dipertimbangkan di kemudian hari. "Saya tidak pernah berkata 'tidak'. Saya bukan jenis orang sebegitu. "Adakah saya akan kembali berlakon? Buat masa sekarang, sejujurnya memang tiada keinginan ke arah itu tapi tak tahulah di masa akan datang kalau saya mungkin berubah fikiran," jelasnya. - JustJared Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!