suria

Army ‘menang’ lagi, DJ Jerman akhirnya mohon maaf samakan BTS dengan Covid-19 - “Saya langsung tidak berniat kutuk mereka”

Matthias mohon maaf di atas keterlanjuran katanya terhadap kumpulan BTS.

SELEPAS dikecam peminat kumpulan BTS, penyampai radio dari Jerman, Matthias Matuschik akhirnya tampil membuat permohonan maaf di atas keterlanjuran menyamakan kumpulan Kpop itu seperti virus Covid-19.

Matthias sebelum ini mengeluarkan kata-kata tersebut selepas tidak bersetuju dengan tindakan BTS menyanyikan semula lagu kegemarannya daripada kumpulan Coldplay, Fix You yang ditayangkan di saluran televisyen muzik, MTV baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: BTS bergelar artis Kpop pertama muncul dalam MTV: Unplugged

Dalam ucapannya itu juga, Matthias berharap ada vaksin yang boleh 'menghapuskan' kumpulan tersebut sekali gus telah mencetuskan 'perang besar' dalam kalangan peminat setia BTS, Army di laman sosial sehingga ia menjadi trending di seluruh dunia.

Dalam permohonan maafnya, Matthias berkata dia tidak bermaksud untuk menghina kumpulan tersebut.

BTS menyanyikan semula lagu daripada kumpulan Coldplay, Fix You di MTV baru-baru ini.

"Saya ingin mohon maaf seikhlasnya di atas keterlanjuran kata saya tempoh hari.

"Saya tidak sepatutnya menyamakan BTS dengan virus Covid-19 serta mempersoalkan nasionaliti kumpulan tersebut apabila mereka diberi peluang menyanyikan lagu kegemaran saya daripada kumpulan Coldplay, Fix You.

"Saya langsung tidak berniat untuk mengutuk mereka dan saya sedar mungkin kata-kata saya menyinggung perasaan semua terutama kepada masyarakat Asia," katanya.

Sementara itu, majikan Matthias berjanji insiden seperti itu tidak akan berulang lagi dalam kalangan pekerja mereka serta menegaskan penyampai radio mereka tidak berniat untuk mengeluarkan kata-kata berbaur rasis.

Saya tidak sepatutnya menyamakan BTS dengan virus Covid-19 serta mempersoalkan nasionaliti kumpulan tersebut.

MATTHIAS MATUSCHIK

PENYAMPAI RADIO

BTS yang dianggotai RM, Jin, Suga, J-Hope, Jimin, V dan Jungkook baru-baru ini tampil dalam program MTV: Unplugged yang mana mereka diberi kepercayaan sendiri oleh kumpulan Coldplay untuk menyanyikan semula lagu hit mereka, Fix You.

Malah, keempat-empat ahli kumpulan Coldplay itu turut memuji persembahan septet tersebut dengan meninggalkan kata pujian di Twitter mereka.

Coldplay yang dianggotai Chris Martin, Guy Berryman, Will Champion dan Jonny Buckland sebelum ini cukup dikenali tidak akan sewenang-wenangnya memberikan kebenaran kepada mana-mana penyanyi untuk menyanyikan semula semua lagu ciptaan mereka. - Allkpop

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain