GARA-GARA salah faham yang timbul semasa penggambaran filem Ishq, pelakon Aamir Khan mendedahkan hubungannya dengan aktres Juhi Chawla dingin selama lebih tujuh tahun. Menurut laporan Hindustan Times, Aamir berkata hubungan itu renggang kerana sikap ego dan mereka kini sedang memperbaiki kesilapan lalu. "Itu sebab hal kecil, saya fikir mungkin saya agak egois dan memutuskan untuk tidak bercakap dengannya lagi. "Semasa di set penggambaran, saya menjaga jarak dengannya dan saya pun tak tahu kenapa saya bersikap begitu! "Saya tidak pernah menyapanya atau mengucapkan selamat tinggal... jika ada babak yang perlu berbicara, baru saya akan bercakap tapi secara profesional," katanya. Filem Ishq lakonan Aamir Khan dan Juhi Chawla ditayangkan pada tahun 1997. Sementara itu, Aamir berkata dia mula sedar kesilapan dan berusaha memperbaiki hubungan itu selepas perceraian dengan Reena Dutta pada tahun 2002. "Ketika dia mengetahui tentang perceraian saya, dia telefon dan mahu berjumpa... mungkin kerana dia rapat dengan Reena dan saya, jadi dia mahu menjadi orang tengah. "Juhi tahu saya mungkin tak angkat panggilannya tapi dia tetap hubungi saya. Sejujurnya dalam tempoh itu mungkin kami tidak berinteraksi antara satu sama lain, tapi sebenar kami saling memerhati," ujarnya. Bersempena ulang tahun kelahiran ke-56 yang diraikan pada Ahad lalu, Aamir berkata hubungannya dengan Juhi semakin baik dan sedang memperbaiki kesilapan diri. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!