ISTERI kepada penyanyi John Legend iaitu Chrissy Teigen sebelum ini mengambil keputusan menyahaktif laman sosial miliknya kerana bimbang dengan kesan buruk akibat penggunaan tanpa kawalan. Bagaimanapun, selepas tiga minggu berbuat demikian, Chrissy dilihat kembali aktif menggunakan Twitter dan menegur pengikutnya di laman tersebut. Menurut laporan Variety, Chrissy mengakui hidupnya terasa sunyi selepas mengambil keputusan menjauhkan diri daripada laman sosial itu. "Terasa begitu teruk apabila hanya mendiamkan diri dan tak lagi dapat melihat hal yang comel dan mencuit hati sepanjang hari tanpa media sosial... terasa macam hilang 2000 orang kawan sekaligus. "Jadi saya memilih untuk masuk ke dalam hal (dunia) buruk ini dengan memberi kebaikan," katanya. Keputusan Chrissy untuk kembali aktif menggunakan Twitter disambut baik jutaan pengikutnya. Rata-ratanya meluahkan rasa rindu dan gembira apabila mengetahui idolanya kembali aktif di laman sosial itu. Pada Mac lalu, model cantik ini memutuskan untuk berehat daripada laman Twitter selepas menerima beberapa kecaman daripada netizen. Chrissy berkata tindakannya menutup akaun itu kerana terlalu banyak hal negatif berpunca daripada media sosial. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!