PELAKON running man Kim Jong-kook akhirnya menunaikan janjinya dengan mendermakan hasil daripada pendapatan YouTube iaitu sebanyak RM250,000 kepada dua hospital di Seoul, Korea Selatan. Daripada jumlah itu, sebanyak RM175,000 disalurkan kepada Samsung Medical Center, manakala selebihnya kepada Hyewon Medical Foundation’s Sejong General Hospital. Dia akui sedikit lewat mengotakan janjinya itu kerana berhati-hati dalam pemilihan institusi untuk proses saluran bantuan tersebut. “Saya agak terlambat tetapi sudah pun menyalurkan derma itu seperti mana yang dijanjikan tempoh hari. “Ini kerana derma itu dilakukan dengan bantuan sokongan dan dedikasi peminat. Semua itu sangat besar maknanya buat saya,” ujarnya. Terdahulu, Jong Kook menyatakan hasrat untuk memberikan hasil pendapatan yang diraih menerusi YouTube kepada badan kebajikan. “Memandangkan saluran saya meraih kejayaan atas pertolongan orang ramai, semuanya akan lebih bermakna jika digunakan untuk kebaikan semua. “Saya merancang mendermakan hasil pendapatan tontonan video ini,” katanya. Jong-kook, 45, mula melancarkan saluran YouTube miliknya pada Jun lalu dan memfokuskan paparan penjagaan kesihatan video senaman dan kini memiliki lebih daripada 2.13 juta pengikut. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI