suria

Influencer kontroversi Filipina beli papan iklan RM123,000 untuk ajak Jennie Blackpink makan malam

Christian Albert Gaza beli dua papan iklan di Seoul berhampiran syarikat pengurusan Blackpink.

PERSONALITI media sosial kontroversi Filipina, Christian Albert Gaza menimbulkan kemarahan peminat Blackpink selepas dia membeli papan iklan untuk mengajak ahli kumpulan Kpop itu iaitu Jennie makan malam.

Dia membeli dua papan iklan yang terletak di Seoul, Korea Selatan iaitu beberapa kilometer dari pejabat syarikat pengurusan Blackpink, YG Entertainment.

ARTIKEL BERKAITAN: Percaya dapat tuah, Lisa Blackpink tukar nama atas nasihat tukang tilik nasib

Papan iklan itu dianggarkan menelan belanja sebanyak 1.5 peso Filipina (RM123,000).

Lelaki yang juga dikenali sebagai Xian Gaza, 28, menulis dalam bahasa Inggeris dan Korea.

"Kim Jennie Ruby Jane, awak adalah orang yang paling saya suka. Bolehkah saya membawa awak keluar makan malam dan menjadikan saya lelaki paling gembira?"

Dalam catatan Facebook pada Ahad, dia berkata bahawa dia tidak tahu bagaimana lagi untuk menghubungi Jennie, 25.

Lelaki yang mengaku dirinya jutawan itu menambah bahawa dia enggan meletakkan logo perniagaannya di papan iklan bagi memperlihatkan keikhlasannya dan mendakwa dia boleh membuat 1.5 juta peso Filipina dengan mudah hanya dalam masa 10 hari.

Ini bukan kali pertama dia melakukan aksi sebegitu.

Pada tahun 2017, dia telah menjemput pelakon Filipina Erich Gonzales untuk minum kopi menggunakan papan iklan di Manila.

“Adakah kamu (Erich) mahu minum kopi dengan saya?” tulisnya, namun ditolak oleh pelakon itu.

Susulan itu, peminat Blackpink yang dikenali sebagai Blinks meminta YG Entertainment untuk melindungi Jennie kerana mereka mendapat individu itu terlibat dengan perniagaan yang tidak jelas.

Pada Jun lalu, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa di Filipina mengeluarkan amaran terhadap mata wang digital Xian Coin, yang dikendalikan oleh Gaza, yang kemungkinan skim Ponzi.

Menurut artikel di laman web Filipina BusinessWorld pada bulan Jun, suruhanjaya itu juga menunjukkan 'reputasi tidak baik' Gaza dan memberi amaran kepada orang ramai. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain