DISEBALIK kejayaannya, ramai tidak mengetahui penyanyi terkenal dari Indonesia iaitu Andmesh Kamaleng pernah melalui kehidupan sukar semasa remaja. Menurut laporan Kompas, penyanyi lagu Hanya Rindu ini mendedahkan dia mula keluar mencari nafkah untuk keluarga ketika berusia 17 tahun kerana keadaan kesihatan bapa yang kurang baik. "Sebelum meninggal dunia, ayah sakit selama enam bulan... sepanjang tempoh itu saya mengambil kerjanya sebagai seorang pengiring muzik. Selalu saya datang sekolah lambat kerana perlu menyelesaikan beberapa kerja ayah. "Setiap kali dapat gaji saya akan beri wang kepada ayah... dia selalu cakap tak sangka saya boleh buat ini semua," katanya menerusi rakaman temubual di saluran YouTube Daniel Mananta Network. Meskipun bapa sudah pergi buat selama-lamanya, penyanyi berusia 24 tahun ini berkata ayahnya itu meninggalkan semangat dan kekuatan untuk dia meneruskan kehidupan. "Sekarang ayah sudah tiada... setiap kali menziarahi kuburnya saya selalu berterima kasih dengannya kerana banyak mengajar saya menjadi kuat mental dan fizikal. "Malah bakat yang saya ada ini hasil didikan ayah... walaupun milik tuhan tetapi dihantar melalui ayah. Saya sentiasa percaya, akan muncul pelangi indah selepas hujan," ujarnya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI