BAPA kepada Allahyarham Vanessa Angel, Doddy Soedrajat meluahkan rasa kecewa terhadap pemandu kenderaan yang menyebabkan kemalangan sehingga meragut nyawa anak dan menantunya. Menurut Doddy, pemandu tersebut yang dikenali sebagai Tubagus Joddy langsung tidak menghubunginya selepas insiden kemalangan itu berlaku. Kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab itu, Doddy berharap pemandu tersebut menerima hukuman yang setimpal. "Tiada apa yang boleh saya katakan untuk dia. Biarlah dia mendapat hukuman yang sewajarnya nanti. Benda dah jadi, saya kena terima. "Dia tidak pernah menghubungi saya... tapi saya tidak mahu fokus tentang perkara itu," kata Doddy kepada media menerusi video rakaman di YouTube. Sebelum ini, media melaporkan pemandu itu didakwa menggunakan telefon bimbit ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan. Vanessa dan Febri meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan di Tol Jakarta-Surabaya, berhampiran kawasan Nganjuk, Jawa Timur pada Khamis, 4 November lalu. Anak kepada pasangan tersebut iaitu Gala Sky Andriansyah yang turut berada dalam kenderaan itu mengalami kecederaan pada bahagian wajah dan keadaannya dilaporkan semakin baik. - Liputan6 Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI