suria

Ari Lasso bebas kanser selepas 6 kali jalani rawatan kemoterapi

Sel kanser Ari Lasso sudah bersih.

KHABAR gembira disampaikan oleh keluarga Ari Lasso yang memaklumkan penyanyi itu bebas kanser limfoma yang dihidapinya sejak awal 2021.

Isteri Ari Lasso, Vita Dessy mengucapkan syukur sambil memberitahu berita itu dimaklumkan oleh doktor yang merawat suaminya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ari Lasso siap sedia botak selepas rawatan kimoterapi... dah minta isteri cari rambut palsu

Kata Vita, doktor memberitahu di tubuh Ari Lasso sudah tiada lagi tanda-tanda penyebaran kanser tersebut.

Ari Lasso menjalani rawatan secara kemoterapi selama enam kali.

"Kami sekeluarga optimis Ari boleh sembuh. Semalam scan terakhir sudah bersih sebenarnya,

"Sel-sel kanser itu sudah tidak ada semuanya," ujar Vita.

ari2

Foto terakhir di IG Ari Lasso dimuat naik pada Disember tahun lalu.

Vita berkata, perjuangan berat itu dirasakan oleh dia serta ahli keluarga yang lain.

"Saya melihat cukup berat untuk Ari beberapa bulan ini. Sejak didiagnos kanser, menjalani kemo pertama sampai terakhir itu sangat berat buat dia.

"Buat kita yang menunggunya juga berat," ujarnya.

Menerusi foto yang dimuat naik Ari Lasso pada Disember lalu, wajahnya kelihatan pucat dan kurus.

Pada September 2021, penyanyi berusia 49 tahun itu mendedahkan sedang berjuang melawan kanser limforma.

Ari disahkan menghidap kanser limfoma tahap dua dan didiagnosis sebagai Diffuse large B-cell lymphoma (DLBCL) yang jarang berlaku dalam kalangan pesakit kanser.

Doktor mengesan kanser itu selepas Ari mengadu sakit perut melampau dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat ketumbuhan pada kelenjar limfanya.

Ari sudah menerima rawatan di hospital pada awal Ogos lalu dan menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan tersebut.

Pembedahan itu mencemaskan kerana Ari kehilangan banyak darah, namun selepas beberapa jam ia berjaya dilakukan oleh doktor pakar.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar

Artikel Lain