SUSULAN siasatan kes kematian mendiang Tangmo Nida, waran tangkap dikeluarkan ke atas seorang individu bernama Wisapat Sand Manomairat yang juga pengurus aktres berkenaan. Wisapat, 35, merupakan antara lima individu terakhir bersama Tangmo sebelum pelakon itu terjatuh dari sebuah bot di Sungai Chao Phraya dan lemas pada 24 Februari lalu. ARTIKEL BERKAITAN: Upacara pembakaran Tangmo Nida ditunda, mayat dipindahkan semula ke pusat forensik Sementara itu, pihak polis Nonthaburi turut menfailkan dua lagi pertuduhan tambahan terhadapan dua suspek kes ini iaitu Tanupat Lerttaweewit yang merupakan pemilik bot dan Phaibon Trikanjananun (pemandu bot). Kedua-dua mereka ini dilihat hadir ke balai polis Daerah Muang pada Sabtu untuk memberi keterangan. Ini merupakan kali ketiga mereka hadir dan mereka harus berbuat demikian dalam selang tempoh masa lima hari. Tanupat dan Phaibon sebelum ini didakwa atas tuduhan kecuaian sehingga menyebabkan kematian. Dua pertuduhan tambahan pula adalah kerana memberi kenyataan palsu dan menghapuskan bahan bukti. Mereka sebelum ini menafikan pengambilan minuman keras di atas bot semasa kejadian berlaku. Pihak polis bagaimanapun menemui beberapa botol minuman keras dan bahan bukti yang terkait dengan Tangmo telah dicampak ke dalam sungai. Untuk rekod, Tangmo ditemui selepas dua hari terjatuh dari bot. Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian akibat lemas kerana terdapat kesan lumpur pada bahagian pada paru-paru. Bagaimanapun bedah siasat kali kedua terpaksa dijalankan berikutan pelbagai spekulasi timbul dan turut mengaitkan konspirasi pihak berkuasa. Sebelum ini, media Thailand melaporkan bedah siasat kedua yang dijalankan ke atas mayat Tangmo mengesahkan terdapat 22 kesan luka di kakinya. Bagaimanapun, pihak pakar patologi, CIFS tidak menemui sebarang kesan gigi dan tulang yang patah atau luka di muka serta kepala Tangmo seperti dibangkitkan oleh ibunya, Panida Sirayootyotin. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI