EMPAT hari menjalani rawatan di Instalasi Gawat Darurat (IGD) akibat diserang pedih hulu hati atau Gastro Esofagus Refluks Disease (GERD), penyanyi Maia Estianty bakal dibedah. Memetik laporan Liputan6, doktor menasihati Maia untuk melakukan pembedahan disebabkan keadaan dirinya masih tidak baik biarpun sudah menerima rawatan di hospital. Menerusi sebuah video, Maia berkata doktor memaklumkan kepadanya bahawa terdapat batu dalam hempedu yang membuatkan penyakit GERD yang dialami sukar untuk sembuh. "Sudah empat hari masih tak sembuh, saya terus hubungi Doktor Chang, pakar pencernaan bahagian dalam. Beliau memaklumkan kenapa penyakit GERD yang saya alami sukar sembuh disebabkan batu dalam hempedu. "Katanya, batu besar dan sukar untuk untuk melalui saluran pencernaan. Tersangkut di situ menyebabkan kesakitan," kata Maia. Maia bersama anaknya, Dul Jaelani. GERD adalah gangguan penyakit pencernaan kronik yang berlaku apabila asid dalam perut atau ada kala kandungan perut mengalir semula ke dalam saluran esofagus (laluan antara mulut dan perut). Dalam pada itu, bekas isteri kepada Ahmad Dhani memberitahu dia sudah lama menderita disebabkan batu dalam hempedu namun enggan melakukan pembedahan kerana membuat terapi buah epal. "Batu itu sebesar 2 sentimeter. Sebenarnya saya sudah beberapa tahun bertemu dengan Doktor Chang dan beliau memang menyarankan untuk buat pembedahan buang batu itu. "Tapi saya ragu-ragu sebab dari 3 sentimeter, turun menjadi 2 sentimeter selepas melakukan terapi epal iaitu makan buah epal setiap hari selama lima hari. Tapi sekarang diserang GERD," ujarnya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI