AKTRES terkenal Korea Selatan iaitu Jang Nara akhirnya bergelar seorang isteri. Pada 26 Jun lalu, Jang Nara mengadakan majlis perkahwinannya di Bonelli Garden, Seoul secara tertutup dan hanya dihadiri oleh keluarga dan rakan terdekat. Lebih manis, rakan baik dan aktor, Park Kyung Lim turut bertindak sebagai pengacara majlis perkahwinannya. Impian peminat setia aktres itu untuk melihat Jang Nara dalam persalinan baju pengantin juga tercapai apabila pihak pengurusannya, Lawon Munhwa berkongsi beberapa foto termasuk aktres itu bersama bapanya yang juga seorang pelakon Joo Ho Sung sedang berjalan ke pentas utama. Bagaimanapun, bagi menjaga privasi suami, pihak pengurusannya tidak berkongsi foto lelaki itu malah tiada butiran lengkap mengenainya. Aktres ini diiringi oleh bapanya ke pentas utama. Malah abang kepada Jang Nara iaitu Jang Sung Won turut memuat naik gambar mempelai di Instagram tetapi tidak menunjukkan wajah suaminya. "Saya mahu menunjukkan kepada semua orang wajah pasangan ini tetapi untuk menjaga privasi pengantin lelaki...," tulisnya. Pada majlis itu, Jung Yong Hwa (CNBLUE) yang berlakon bersamanya dalam Sell Your Haunted House turut menghadiahkan sebuah lagu berjudul Love Light untuk pasangan mempelai. "Ketika menjalani penggambaran drama itu, saya sudah berjanji kepada Jang Nara untuk menyanyi di hari perkahwinannya. Hari ini saya mengotakan janji," katanya. Antara selebriti yang menghadiri perkahwinan itu adalah Lee Soo Young, Jung Tae Woo dan Lee Sang Yoon. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI