suria

Jelas dan mudah difahami, Will Smith baca al-Quran sepanjang Ramadan

Smith mengakui tertarik dengan keindahan ayat al-Quran.

BINTANG Hollywood Will Smith mendedahkan sudah membaca 30 juzuk al-Quran pada bulan Ramadan tahun lalu.

Will, 56, berkata, dia tergerak hati untuk membaca terjemahan kitab suci umat Islam itu ketika dia mengharungi pelbagai dugaan dalam hidupnya dua tahun lalu.

Kata pelakon filem Men In Black ini, al-Quran sangat mudah dibaca malah menyukai kesederhanaan yang ada pada kitab suci itu.

Malah Will memberitahu kisah Nabi Musa AS paling digemarinya malah memberi kesan positif terhadap pada dirinya.

Smith mencari ketenangan rohani melalui bacaan al-Quran.

Smith mencari ketenangan rohani melalui bacaan al-Quran.

"Ayat dalam al-Quran sangat jelas dan mudah difahami.

"Saya kagum melihat banyak rujukan tentang Nabi Musa dalam al-Quran," katanya seperti dilaporkan Morocco World News.

Will berkongsi mengenai pengalaman membaca al-Quran ketika muncul dalam sesi podcast Big Time Podcast yang dihoskan wartawan dari Mesir iaitu Amr Adeeb.

Dalam pada itu, Will memberitahu sejak beberapa tahun kebelakangan ini dia banyak menghabiskan waktu membaca kitab suci daripada pelbagai agama.

ARTIKEL BERKAITAN: Jada Pinkett dan Will Smith berpisah sejak 2016, tiada perancangan cerai secara rasmi

ARTIKEL BERKAITAN: Insiden tampar di Anugerah Oskar buka mata Jada Pinkett, ubah fikiran tinggalkan Will Smith

Bagaimanapun kata Will, al-Quran paling digemarinya kerana dapat memahami isi kandungannya dengan lebih mudah.

"Saya sudah membaca semua kitab suci Abrahamik dan terkejut Nabi Musa sering kali disebut.

"Apabila membaca al-Quran saya terkejut sebab ia seperti penyatuan semua cerita melalui kitab lain seperti Taurat dan Injil.

"Selepas saya membaca al-Quran, baru saya faham tentang alur cerita sebenar," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan Youtube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain