suria

D'Masiv tak mungkin berpecah, 21 tahun masih kekal bersama anggota asal... Sanggup kongsi nasi bungkus berlima

D'Masiv ada rahsia sendiri kekal bertahan selama 21 tahun.

KESUKARAN hidup dilalui sekitar 21 tahun dahulu menjadi pedoman dan panduan untuk kumpulan D'Masiv kekal kuat dan bertahan sehingga hari ini.

Vokalisnya iaitu Rian berkata meskipun berdepan pelbagai cabaran, namun sikap toleransi dan saling percaya membuatkan semua anggota asal kekal bertahan lama.

Malah, mereka juga menjaga hubungan sesama anggota dan menganggap ia seperti satu keluarga.

"Sejak dari awal penubuhan inilah D'Masiv. Kami tidak pernah bertukar anggota baru. D'Masiv seperti rumah yang harus dijaga, jika berpecah pasti boleh mendatangkan kekecewaan banyak pihak.

d'masiv 2

Rian (tengah) berkongsi kisah susah dan senang bersama rakan-rakan.

"Pada awal penubuhan sekitar 21 tahun dahulu kami pernah mendapat jemputan untuk membuat persembahan di sekolah dengan bayaran hanya Rp150,000 (sekitar RM44).

"Wang itu kami bahagi lima. Kami juga makan nasi bungkus kongsi berlima. Sehingga sekarang kami berpegang kepada itu, apa sahaja hasil pendapatan kami bahagi lima.

"Setiap minggu kami akan adakan perjumpaan untuk rancang masa depan. Malah setiap kali masuk studio rakaman, kami sentiasa rasa teruja dan merasakan seperti sebuah band baru," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: D'Masiv datang KL buat konsert lagi, pertama kali nyanyi lagu baharu... Tak sabar cari nasi kandar dan Musang King

ARTIKEL BERKAITAN: Tiket konsert D'Masiv licin, Nabila Huda tambah hari kedua... paling best Giring jadi penyanyi jemputan

Rian berkata demikian ketika majlis sidang media Amazing Concert D'Masiv yang berlangsung di Jakarta, Indonesia.

Sementara itu, Rian memberitahu sepanjang mereka berkarya, soal populariti dan wang bukanlah ukuran utama.

Sebaliknya keikhlasan dalam menghasilkan lagu menjadi kunci karya mereka mudah mendapat tempat dihati peminat.

Populariti dan wang adalah bonus. Kami hanya buat apa yang kami suka

RIAN

VOKALIS D'MASIV

"Jika kami cipta lagu dalam mana-mana album, kami tidak pernah fikir soal duit, itu semua kami serahkan kepada pasukan promosi. Apa yang kami rasa, kami luahkan dalam lagu dan berdoa peminat akan suka.

"Populariti dan wang adalah bonus. Kami hanya buat apa yang kami suka," ujarnya.

Terbaharu D'Masiv tampil dengan album kelapan mereka yang bakal dilancarkan di Indonesia bermula 20 Mei ini.

d' masiv 3

D'Masiv juga dikenali di Eropah dan Amerika Syarikat.

Sebanyak 15 lagu dimuatkan dalam album berkenaan dan semuanya disiapkkan dalam tempoh seminggu mereka berkumpul sama.

"Untuk album ini sebenarnya sedikit terlambat berbanding perancangan asal. Jadi kami minta untuk adakan sebuah workshop di Bali dan siapkan semua lagu ketika itu. Dalam tempoh seminggu kami berjaya hasilkan 16 buah lagu dan kemudian hanya memlilih 13 untuk album. Tidak lama selepas itu pihak pengurusan minta untuk tambah dua lagi lagu," jelasnya.

Selain Rian, kumpulan ini turut dianggotai oleh Kiki (gitar), Rama (gitar), Rai (bes) dan Wahyu (dram).

D'Masiv juga sekali lagi akan datang ke Malaysia pada 29 Jun ini menghiburkan peminat dalam acara yang berlangsung di Arena Megastar Kuala Lumpur dan tiket boleh didapati di www.ticket2u.com.my.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain