PENYANYI kecil molek ini pernah membuat penampilan khas dalam filem arahan Saw Teong Hin, Apa Kata Hati yang telah ditayangkan di seluruh negara tidak lama dulu.Meskipun hanya satu babak bergandingan bersama Dafi dan tanpa sebarang skrip, Noorsyarmila Jirin atau lebih mesra disapa Mila ini akui bertitik tolak daripada situlah dia mula memasang niat untuk cuba berjinak-jinak dalam bidang lakonan. Bukan berniat untuk bersikap 'tamak', tambahan pula dirinya ketika ini juga sedang 'laris' sebagai penyanyi, namun bagi gadis berusia 20 tahun ini, dia merasakan tidak salah buat dirinya mencuba nasib dalam bidang tersebut jika berpeluang asalkan dia mempunyai minat dan kesungguhan.Ternyata hasrat penyanyi yang popular dengan lagu Persis Mutiaradan Aku Lebih Tahu ini tercapai jua apabila dirinya ditawarkan memegang watak Aishah, adik kepada Raja Lawak musim kedua, Nabil dalam filem Lu Pikirlah Sendiri The Movie yang telah pun tamat penggambarannya tidak lama dulu.Akui Mila, meskipun babaknya kali ini juga tidak begitu banyak, namun dia cukup terharu dengan kepercayaan yang diberikan oleh produser untuk menjayakan filem arahan Aminah Rhapor itu."Ia merupakan peluang lakonan kedua buat saya. Memang seronok sangat dapat kutip pengalaman di lokasi filem tersebut."Tetapi, saya tidak nafikan, kali ini barulah saya faham betapa sukarnya untuk bergelar pelakon. Dulu, menerusi Apa Kata Hati, saya tidak memerlukan skrip. Kali ini bukan saja perlu menghafal skrip, tapi kena pandai menjiwai watak juga."Saya akui, memang sukar bawakan watak Aishah, terutamanya untuk babak menangis. Lebih mencabar lagi sebab Nabil memang suka buat lawak."Jadi, setiap kali saya dah dapat feel, tetapi bila tengok muka dia, pasti akan ketawa."Sehinggakan kena suruh dia pergi ke tempat lain, barulah saya boleh fokus. Tapi seronok, kerana akhirnya saya dapat juga lakukannya," tutur Mila dalam nada ceria.Pengalaman yang dikutipnya menerusi filem itu membuatkan gadis berasal dari Pulau Pinang ini semakin bersemangat untuk cuba terus melangkah dalam cabang seni barunya itu.Namun begitu, kata Mila, buat masa ini dia belum berkeyakinan untuk memegang watak-watak yang lebih berat sekiranya ditawarkan."Memang seronok dapat berlakon, tapi saya sendiri kena sedar kemampuan diri. Setakat ini, saya belum berani untuk cuba bawakan watak yang berat. Mungkin lama-kelamaan jika sudah ada lebih pengalaman, barulah saya akan cuba."Tentang tawaran lakonan yang lain, memang ada yang saya dapat untuk berlakon drama. Tapi disebabkan masa yang tidak sesuai dengan jadual nyanyian saya, terpaksalah saya menolak," kata juara kategori lagu terbaik di Festival Muzik Pop Antarabangsa Ke-17 di Varna, Bulgaria ini.17 pasang baju rayaBersempena dengan kehadiran Syawal lebih kurang dua minggu saja lagi, Mila turut berkongsi cerita tentang persiapannya menjelang hari lebaran nanti."Tahun ini, saya sediakan 17 pasang baju, tapi hanya dua pasang saja untuk raya. Selebihnya saya gunakan untuk hadiri majlis-majlis berbuka puasa dan sesi fotografi."Insyaallah, saya dan keluarga akan pulang beraya di Pulau Pinang pada malam raya nanti," kata Mila yang akui cukup gembira setelah keluarganya kini menetap bersamanya di Kuala Lumpur sejak setahun lalu.Ditanya mengenai aktivitinya tatkala ini, kata Mila, dia lebih banyak terlibat dengan rakaman program raya serta menghadiri majlis-majlis berbuka puasa.Namun, selepas Hari Raya nanti, jadual seninya akan kembali aktif seperti biasa dan album MTV Karaoke Persis Mutiara juga akan mula dipasarkan tidak lama lagi.