GARA-GARA hendak memberikan tumpuan kepada Sehati Berdansa dan One In A Million, pelakon utama Muzikal Impak Maksima, Awal Ashaari mengaku telah menarik diri dari berlakon teater yang bakal dipentaskan mulai 11 November ini.Walaupun berat hati untuk meninggalkan teater arahan Ahmad Idham itu, Awal merasakan lebih baik dia mengorbankan salah satunya daripada dia menyusahkan orang lain. Bukan mudah Awal hendak membuat keputusan tersebut kerana kedua-dua bidang lakonan dan pengacaraan itu memang sudah sebati dalam dirinya.Dengan alasan belum bersedia untuk berlakon teater, lalu Awal mengumumkan pengundurannya kepada Idham Isnin lalu.Mungkin pada awalnya kita menyangkakan Idham sukar untuk melepaskan Awal kerana penglibatan Awal dengan Impak Maksima telah berjaya meninggalkan kesan kepada penonton dan namanya juga bagaikan sudah sinonim dengan jenama tersebut.Namun, Idham berkata sebaliknya di mana dia menerima keputusan tersebut tanpa menyalahkan Awal."Keputusan ini bukan datang dari diri dia seorang. Saya tak salahkan dia apabila dia hendak berundur dan dia juga tidak menyalahkan saya dalam hal ini."Pada mulanya, dia ingat buat muzikal ini biasa sahaja dan hanya menari secara asas. Tetapi dalam muzikal ini, saya lipat gandakan ia menjadi muzikal sepenuhnya."Jadi, Awal perlukan komitmen yang banyak untuk lakonan, nyanyian dan tarian ini. Apabila dia nampak persembahan pun makin dekat dan makin banyak yang dipelajari, jadi tekanan dia makin bertambah," ujar Idham ketika dihubungi.Selepas ketiadaan Awal, mesti ramai tertanya-tanya siapakah penggantinya yang bakal membawa watak Ayie."Saya akan buat pengumuman pelakon-pelakon dan semua yang terlibat dalam muzikal itu dalam satu sidang media pada 23 Oktober ini," beritahu Idham yang juga pelopor filem seram terkenal tanah air.Bertanya lanjut adakah ketiadaan Awal mampu memberi kesan buruk kepada Muzikal Impak Maksima memandangkan Awal telah terlibat sejak dari filem dan drama bersiri tersebut, kata Idham, dia percaya muzikal tersebut mempunyai pendirian berbeza."Muzikal ini lebih berkonsepkan sukan permotoran dan ketiadaan Awal mungkin tidak mengganggu-gugat kerana ia mempunyai pendirian yang berbeza. Impak Maksima akan berdiri dengan sendiri walaupun tanpa Awal."Ini kerana muzikal perlu menitik beratkan penggiat teater tanahair. Kita tak boleh hanya memikirkan nilai komersial dan mengenepikan unsur-unsur yang harus ada dalam sebuah teater itu. Pendirian teater cukup padat," terang Idham lagi.Berbalik kepada pendirian Awal yang pada mulanya sedih dan kecewa untuk meninggalkan Muzikal Impak Maksima, dalam masa yang sama dia berasa tidak adil dengan pihak Astro jika terpaksa menggantikan tempatnya yang telah mengacarakan Sehati Berdansa musim lalu."Memang saya minat muzikal dan tarian. Saya juga bersemangat dan sudah menghafal langkah tarian serta segalanya. Namun, inilah yang dikatakan pengorbanan," luah Awal.Menyebut tentang adil, Awal juga sepatutnya bertanggungjawab dan adil dengan Impak Maksima. Dia sepatutnya lebih arif untuk membahagikan jadual tugasannya. Jadi, mungkinkah Awal lebih menerima Sehati Berdansa kerana bayaran tinggi?"Semasa saya menandatangani perjanjian dengan Impak Maksima, jadual belum ada lagi. Saya dan Idham ada persefahaman masing-masing tanpa melibatkan wang ringgit. Dia bertanggungjawab mempopularkan saya dan duit bukanlah isu dalam hal ini."Saya hargai apa yang dia buat. Tetapi, soal komitmen. Sebelum saya membuat keputusan ini, saya berjumpa dengan dia dulu dan bertanya pendapat dia. Jadi, dia cakap saya perlu memberi komitmen 110 peratus. Kalau saya tak dapat memberikan komitmen tidak mengapa sebelum orang ketawakan saya."Semuanya berlandaskan kepercayaan. Jadi, saya rasa ragu-ragu untuk melakukannya. Lalu, keputusan ini saya buat sebelum orang kritik dan jatuhkan saya sebab tidak memberikan persembahan yang memukau," jelas Awal.Belum bersedia memukau penonton teaterMemandangkan bakatnya terarah kepada dua bidang, Awal merasakan dia lebih bertanggungjawab kepada bidang pengacaraan."Lagipun saya belum bersedia untuk memukau penonton teater. Saya juga tidak dapat memberikan apa yang orang nak."Ia seolah-olah membinasakan saya kerana masih baru buat saya. Saya tolak juga kerana tidak mahu mengganggu semangat orang lain. Saya rasa diri ini belum menunjukkan bakat dalam teater."Memang sebelum itu saya nak mencipta sejarah bersama Idham kerana melakonkan peranan yang sama tetapi impian tidak kesampaian."Namun, saya percaya peluang sebegini akan datang lagi pada masa akan datang. Saya akan cuba melakukannya pada masa akan datang jika tiada halangan," akhiri pelakon utama filem Syurga Cinta ini.