suria

Kelembutan Intan tawan hati Iskandar

SENYUMAN manis terukir di bibir penyanyi yang pernah popular dengan lagu Duhai Malam, Intan Sarafina saat dirinya sah bergelar isteri kepada Iskandar Ezzahuddin Ahmad Zulkiflee yang mula dikenalinya sejak setahun setengah yang lalu.

Bibit-bibit cinta yang berputik setelah diperkenalkan seorang rakan yang kemudiannya terjalin secara serius sejak Mac lalu akhirnya membawa pasangan ini ke jinjang pelamin setelah cinta yang termeterai itu mendapat restu ibubapa kedua-dua belah pihak.

Sebulan lebih mengikat tali pertunangan sejak 31 Ogos lalu, Intan dan Iskandar memilih tanggal 17 Oktober untuk menyatukan cinta mereka.

Meskipun ada pihak yang berpendapat, perkahwinan mereka dilihat agak tergesa-gesa, apatah lagi dengan tempoh pertunangan yang pendek, namun bagi pasangan ini, mereka akui sudah bersedia untuk menempuh alam rumahtangga.

Hanya sekali lafaz oleh Iskandar, pasangan ini akhirnya selamat dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Bandar Tun Razak, Mohamad Afandi Che Harun pada kira-kira jam 9.40 malam Jumaat lalu di kediaman keluarga Intan di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

Intan yang kelihatan anggun dengan busana rekaan Man Kajang menerima mas kahwin RM 80 dan wang hantaran dalam bentuk cek berjumlah RM15,000 beserta tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki antaranya sireh junjung, cincin, beg tangan, minyak wangi, sejadah dan manisan.

Pihak pengantin perempuan pula membalas sebanyak sembilan dulang hantaran antaranya sireh junjung, minyak wangi, kek, telur pindang serta kasut dan kemeja.

"Alhamdulillah, memang gementar juga pada awalnya. Pening juga nak buat persiapan untuk majlis ini. Apapun, saya bersyukur akhirnya kami sah bergelar suami isteri. Walaupun tempoh pertunangan agak singkat, tetapi saya memang sudah bersedia untuk memulakan hidup sebagai isteri.

"Bagi saya, Iskandar seorang yang memahami dan cukup mengambil berat. Memang ciri-ciri lelaki yang saya suka ada pada dia. Insya-Allah, selepas berumahtangga, saya akan tetap teruskan karier seni saya kerana suami juga tidak pernah menghalang," ujar Intan pada majlis akad nikahnya itu.

Selain disaksikan oleh ibubapa dan ahli keluarga kedua-dua pasangan, majlis yang berlangsung dalam suasana sederhana itu turut diserikan dengan kehadiran saudara-mara dan teman-teman rapat.

Ditanya mengenai perancangan setelah bergelar isteri, kata Intan, selain meneruskan karier seninya, penyanyi berusia 27 tahun ini akui tanggungjawabnya kini semakin berat dan perlu menguruskan rumahtangga dan kerjaya sebaik mungkin.

Anak kedua daripada enam beradik ini juga tidak menolak jika rezeki untuk menimang cahayamata dalam tempoh terdekat ini diperolehnya.

"Saya tidak kisah sama ada cepat atau lambat. Semuanya bergantung kepada rezeki daripada Allah. Sejujurnya, saya teringin untuk mempunyai empat orang anak," tutur Intan yang juga sedang mengintai peluang untuk melebarkan karier seninya di dalam bidang lakonan setelah muncul di dalam drama Suara Hati dan filem Janji Diana tidak lama dulu.

Dalam pada itu, Iskandar yang ditemui kemudiannya turut memanjatkan kesyukuran setelah majlis bersejarah mereka itu berjalan dengan lancar.

"Saya ambil masa empat hari untuk berlatih lafaz akad nikah. Alhamdulillah, tiada sebarang masalah. Sebenarnya jika diikut pada perancangan asal, kami ingin berkahwin sebelum bulan Ogos lagi.

"Kami rancang untuk terus berkahwin, tanpa perlu bertunang. Tetapi, akhirnya kami putuskan untuk bertunang juga terlebih dahulu. Kami tidak pernah mempercepatkan perkahwinan seperti yang diperkatakan oleh banyak pihak, cuma sepatutnya kami bernikah pada 18 Oktober, tetapi telah awalkan sehari. Itu saja," jelas jejaka berusia 32 tahun ini.

Ditanya pula bagaimana proses perkenalan mereka bermula, sambil tersenyum Iskandar yang bertugas di dalam bidang pemasaran itu berkata, semuanya berlaku setelah dia diperkenalkan kepada Intan oleh seorang kenalannya.

"Ketika diperkenalkan dulu, saya tidak sedar yang dia adalah seorang artis. Tetapi saya akui, kali pertama bertemu memang saya sudah tertarik dengan dia...kelembutannya dan keperibadiannya memang satu pakej yang lengkap.

"Namun begitu, kami hanya benar-benar serius sejak awal Mac lalu," kata Iskandar yang menambah kemungkinan dia dan Intan akan berbulan madu di Bali setelah selesainya resepsi di sebelah pihak lelaki, Januari depan.

Percintaan Intan dan Iskandar sememangnya cukup 'low profile'. Penyanyi yang pernah menyertai program realiti One In A Million (OIAM) musim kedua ini sememangnya tidak begitu suka 'menjaja' tentang kisah percintaannya itu.

Hanya setelah mencetuskan sedikit kontroversi gara-gara penyebaran gambar percutiannya bersama Iskandar tidak lama dulu, barulah Intan mula diburu media untuk mendapatkan penjelasan tentang gambar dan hubungannya dengan jejaka tersebut.

Majlis persandingan berkonsepkan tradisional ala Johor telah berlangsung di lokasi yang sama pada Sabtu lalu manakala di sebelah pihak lelaki pula, majlis resepsinya akan berlangsung pada Januari depan di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara.

Artikel Sebelum

Transformasi Fazura

Artikel Berikut

Artikel Lain