suria

Khatijah akui Pierre teraniaya

SUKAR untuk membaca fikiran aktres Khatijah Tan ketika menemubualnya tentang misteri anak bujangnya, pelakon dan pengarah Pierre Andre, namun berdasarkan bahasa badan dan pertuturannya dapat digambarkan yang dirinya gelisah dan risau dengan keadaan anaknya yang dikaitkan dengan perempuan misteri bernama Maya Darina.

Apabila ditanya tentang keadaan Pierre sekarang, Khatijah yang mesra dengan panggilan Mak Ngah itu memberitahu Pierre dalam keadaan baik dan sihat, malah dalam masa yang sama bersikap mempertahankan anak sulungnya itu.

"Dia menjalankan kehidupannya seperti biasa dan kadangkala kami keluar tengok wayang bersama-sama. Saya rasa dia seorang yang pendiam dan agak merendah diri. Walaupun dia sudah lama bergelar seorang selebriti, namun dia masih merasa rendah diri.

"Hari Raya lepas, kami sekeluarga gembira beraya di Gunung Rapat, Ipoh," ujar Khatijah memulakan perbualannya.

Khatijah juga berkata dia lebih suka bersikap memberi peluang kepada anak-anaknya berfikir sendiri dan tidak suka 'menekan' mereka.

"Saya juga tidak terlalu mengambil serius dengan gosip yang dilemparkan kepadanya kerana saya tahu anak saya dalam keadaan baik.

"Ada juga saya dengar cerita orang luar yang cakap macam-macam tentang dia. Kadang-kadang saya lebih banyak tahu cerita orang luar berbanding daripada Pierre sendiri. Tetapi saya bukan jenis suka memaksa anak untuk bercerita apabila dia cakap ok. Saya tak nak dia jadi rimas nanti.

"Anak-anak saya jenis rapat dengan saya dan ayahnya. Jadi, jika ada apa-apa masalah, mereka akan berterus-terang dengan kami," cerita Khatijah.

Dalam masa yang sama, pelakon sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu ini juga menganggap gosip anaknya dan Maya Darina itu sebagai hal kecil. Katanya, apabila seseorang itu masuk ke dunia artis, mereka akan mengalami pelbagai risiko dan orang akan bercerita tentang mereka.

"Saya juga tidak memilih dengan siapa anak saya hendak berkawan. Setakat ini, saya tahu anak saya belum ada kekasih. Kalau dia ada hubungan dengan seseorang, mesti selalu berbalas SMS atau berbual di telefon. Tetapi, sekarang Pierre lebih suka tidak menggunakan telefon bimbit. Jika ada orang hendak mencarinya, dia lebih suka menghubunginya melalui pengurusnya, Itik," jelas Khatijah lagi.

Menyentuh tentang Ally iaitu bekas rakan sekerja Pierre di Metrowealth dulu, Khatijah berkata dia pernah berjumpa dengan Ally dan tidak berani mengatakan Ally adalah Maya.

"Saya pernah berjumpa sekali dengan dia. Tetapi saya tak boleh menghukum dia kerana apa yang saya nampak sebelum ini hubungan dia dengan anak saya ok. Saya tak tahu siapa Maya Darina itu dan Pierre juga tidak mengetahui Ally tu siapa.

"Sebelum ini, hubungan Pierre dan Ally hanya rakan sekerja sahaja. Sudah tentu pengarah akan berbaik dengan penulis skripnya.

"Berdasarkan apa yang Pierre beritahu saya, dia tak berminat dengan Maya tu. Mungkin berbual di telefon sikit-sikit tu ada juga. Tetapi, apa yang saya tahu melalui internet semuanya tidak betul. Pierre pun dah lama tidak menggunakan Facebook. Saya juga hairan bagaimana Facebook Pierre selalu digunakan. Tetapi, saya percaya orang yang rapat dengan Pierre telah membuat semua ini," ulas pelakon drama bersiri Puaka Niyang Rapik ini.

Khatijah sekali lagi enggan membabitkan nama Ally dalam hal ini kerana Ally yang dikenalinya adalah seorang yang baik dan pandai.

"Selepas kejadian ini, saya pernah berpesan kepada Pierre supaya berhati-hati dengan semua orang walaupun orang yang rapat dengannya sekalipun. Macam-macam boleh berlaku. Saya percaya setiap perkara yang berlaku ini mempunyai hikmahnya dan sekurang-kurangnya Pierre boleh mempelajari sesuatu dalam hidupnya.

"Pierre seorang yang naif, suka percayakan orang dan perangainya seperti ayahnya yang menganggap semua orang baik belaka. Namun, dia juga merupakan seorang yang kreatif dan pandai. Sekarang dia sedang sibuk membuat beberapa skrip filem bergenre seram dan cinta," ujar Khatijah yang turut membintangi filem Pisau Cukur.

Percaya kewujudan jin dan syaitan

Sebelum ini, Khatijah terbiasa berlakon dalam genre seram dan tidak mustahil dia diberikan peranan seorang bomoh yang mengamalkan ilmu hitam dalam drama bersiri terbaru, Puaka Niyang Rapik yang bakal disiarkan di slot Seram TV3 mulai 6 November depan.

Barisan pelakon yang membintangi Puaka Niyang Rapik terdiri daripada Ashraf Muslim, Liyana Jasmay, Fauzi Nawawi dan Abu Bakar Juah.

Kata Khatijah, drama ini memberikan cabaran dari segi emosi dan fizikal kepadanya.

"Dalam cerita ini, saya membawakan watak seorang bomoh, Bok Miah yang membela makhluk halus. Apabila ada orang saki, mereka akan datang berubat dengan saya dan suami, Tok Dalik (Abu Bakar Juah). Amalan ilmu hitam tersebut merupakan turun-temurun dari kaki bukit Niyang Rapik.

"Makhluk halus tersebut disimpan dalam tempayan dan upacara pemujaan dilakukan. Susah juga semasa saya melakukan upacara 'menurun'. Bahasa yang digunakan untuk melakukan kaedah tersebut menggunakan bahasa orang halus dan tidak mempunyai identiti.

"Apabila membaca kalimat tersebut, saya terus dapat rasakan yang orang halus ini berkomunikasi sesama mereka. Pernah di satu tempat, saya tak nampak tapi boleh berkomunikasi dengan mereka.

"Sebelum ini, saya juga pernah mengalami peristiwa seperti ini ketika pengambaran filem Embun," cerita Khatijah.

Disebabkan insiden tersebut, Khatijah percaya kewujudan jin dan syaitan. Tambahnya, hantu-hantu juga merupakan sebahagian daripada jin dan syaitan.

Bercerita tentang pengalamannya ketika melakukan pengambaran drama tersebut, Khatijah mengalami suasana 'black out' secara tiba-tiba selama satu jam di rumah seorang ustaz.

"Bahagian saya dibuat malam. Jadi, ustaz tersebut telah memberikan syarat-syarat supaya saya mengamalkan surah Nabi Sulaiman sebelum memulakan pengambaran. Tetapi, semasa malam pertama itu saya lupa. Selepas malam berikutnya, semuanya berjalan dengan lancar.

"Dalam pengambaran tersebut, kami banyak menggunakan peralatan pemujaan yang sebenar iaitu kemenyan dan telur. Saya berhati-hati juga semasa hendak melakonkan babak tersebut kerana membuat cerita seram ni memang berat," akhiri Khatijah.

Saksikan Puaka Niyang Rapik mulai 6 November ini, setiap hari Khamis, jam 9.30 malam di TV3.

Artikel Sebelum

Transformasi Fazura

Artikel Berikut

Artikel Lain