suria

Mawi nafi terima habuan RM5 juta dari Astro

SETELAH membiarkan pelbagai pihak membuat spekulasi tentang perkahwinan mereka, penyanyi popular Asmawi Ani atau lebih dikenali dengan panggilan Mawi ini akhirnya meleraikan juga segala macam teka-teki yang bermain di benak fikiran ramai tentang hubungan cintanya bersama pelakon dan model, Nora'Ashikin Rahmat yang mesra disapa Ekin itu.

Mengotakan janji untuk mengadakan sidang media khas bagi mengumumkan majlis bersejarahnya itu, Mawi akhirnya mengesahkan bahawa dirinya dan pelakon yang pernah popular menerusi drama bersiri Kawan itu akan menyatukan cinta mereka pada 20 Disember depan.

Berlokasikan Palace of the Golden Horses, Mawi yang tampil segak dengan sut putih muncul bersama kekasih hatinya itu di hadapan berpuluh-puluh pihak media dan mengumumkan majlis perkahwinan mereka yang turut disiarkan secara langsung di Astro Awani pada jam 2.30 petang semalam.

Pernikahan pasangan selebriti ini akan berlangsung di salah sebuah masjid di Johor Bahru pada hari tersebut dan akan diikuti dengan persandingan pihak perempuan di Stadium Tertutup Johor Bahru pada sebelah malamnya dengan berkonsepkan moden kontemporari.

Majlis resepsi pihak lelaki pula akan diadakan pada 28 Disember di Dewan Felda Taib Andak, Kulai dengan tema Jawa yang akan turut diselitkan elemen kuda kepang yang mana tema tersebut dipilih sendiri oleh jejaka berusia 27 tahun itu.

Djangkakan kira-kira 15,000 tetamu termasuk para peminatnya akan hadir memeriahkan majlis itu memandangkan lokasi yang dipilih itu sesuai untuk kehadiran jumlah tetamu yang besar.

Menariknya, sehari sebelum resepsi itu, Mawi juga bakal mengadakan konsert istimewa bersama rakan-rakan AF yang lain secara percuma untuk peminatnya pada 27 Disember di Padang Felda Taib Andak, Kulai.

Konsert tersebut dianggap Mawi sebagai 'hadiah' untuk peminat-peminatnya yang banyak memberi sokongan terhadap karier seninya itu.

Bukan setakat itu saja, sebuah resepsi istimewa bercirikan ala-Arab di Palace of The Golden Horses juga bakal diadakan pada 11 Januari depan yang bakal dihadiri oleh tetamu-tetamu jemputan khas termasuklah rakan-rakan artis.

Seperti mana perkahwinan gilang-gemilang Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya Datuk Seri Khalid Muhamad Jiwa yang disiarkan secara langsung di TV3 dua tahun lalu, kali ini majlis hebat Mawi dan Ekin juga akan disaksikan oleh jutaan penonton menerusi tiga saluran Astro iaitu Ria, Prima dan Oasis yang mendapat hak eksklusif untuk menyiarkan sepenuhnya majlis perkahwinan pasangan selebriti ini.

Mawi dan Ekin akan turut menghadiri kursus kahwin pada 4 November ini di Masjid Putrajaya yang mana kursus khas yang disediakan oleh pihak Astro Oasis itu akan turut dirakam dan disiarkan di saluran tersebut di dalam tiga segmen bermula pada 17 hingga 19 Disember.

Saluran itu akan turut menyiarkan secara langsung majlis akad nikah pada 20 Disember bermula jam 11 pagi manakala pada 28 Disember, Astro Prima pula akan bertindak selaku penyiar rasmi majlis resepsi Mawi pada jam tujuh malam.

Astro Ria pula akan menyiarkan resepsi istimewa di Palace of the Golden Horses pada pukul 7.30 malam.

Lengkap maklumat perkahwinan yang diumumkan oleh Mawi itu sekaligus melenyapkan pelbagai andaian tentang tarikh perkahwinan pasangan tersebut yang mula menjadi topik hangat sejak mereka mendedahkan kisah cinta mereka Mac lalu di majlis Anugerah Bintang Popular di Genting Highlands.

Dari riak wajahnya ketika sidang media tersebut, Mawi dilihat agak gementar walaupun akui dirinya berasa lega setelah mendedahkan apa yang 'tersembunyi' selama ini. Begitu juga Ekin yang dilihat sering menguntum senyuman.

Satu demi satu soalan yang diajukan oleh pihak media sepanjang sidang tersebut dijawab sebaik mungkin oleh Mawi dan Ekin. Malah sesi soal jawab itu turut berpanjangan sehingga hampir jam 5 petang oleh media yang berterusan mengajukan pelbagai pertanyaan terhadap pasangan ini.

"Hari ini adalah hari yang paling bahagia buat diri saya. Ramai yang tertanya-tanya dan berteka-teki sebelum ini dan hari ini saya sudah tunaikan janji saya untuk mengumumkan hal ini selepas Hari Raya.

"Apa yang boleh saya katakan, Ekin adalah 'orangnya' yang juga teman ketika waktu suka dan duka saya. Saya bersyukur kerana selama kami berkenalan, dia amat memahami karier saya dan apa yang lebih penting, saya gembira melihat Ekin dapat buat ibu saya tersenyum dan ketawa setiap kali mereka bersama.

"Ibu saya, Ramlah Sarlan, seorang yang susah untuk senyum mahupun berbual dengan orang. Sebab itu bila saya lihat dia sering gembira bila bersama Ekin, saya turut rasa seronok," kata juara Akademi Fantasia musim ketiga itu sambil tersenyum memandang Ekin yang berada di sebelahnya.

Ditanya bilakah lamaran dibuat terhadap kekasihnya itu, kata Mawi, ia dilakukan menerusi perbualan telefon yang dibuat semasa penyanyi itu berada di Syria bagi menjayakan rakaman program Astro Oasis, Mawi Di Bumi Anbia pada 30 April lalu.

"Selepas habis rakaman, saya hubungi dia dan hanya cakap "kita kahwin bulan 12". Itu saja. Setelah pulang ke Malaysia, orang pertama yang saya beritahu tentang lamaran tersebut ialah kakak saya.

"Keluarga saya kemudiannya pergi merisik pada bulan Jun lalu dan dari situlah kami tetapkan segala perancangan untuk berkahwin. Kami putuskan untuk tidak bertunang, tetapi terus nikah saja pada tarikh tersebut.

"Tidak ada apa-apa yang istimewa pun tentang pemilihan tarikh 20 Disember itu. Memandangkan waktu itu adalah cuti persekolahan, jadi saya rasa itu adalah masa yang sesuai untuk langsungkan majlis tersebut dan peminat juga boleh datang meraikan bersama," kata Mawi yang menambah persiapan menjelang hari bahagia mereka sudah pun siap kira-kira 50 peratus.

Ekin pula ketika ditanya perasaanya tentang perkahwinan yang bakal berlangsung, pelakon berusia 29 tahun itu akui dia sememangnya agak gementar namun sudah bersedia untuk bergelar isteri kepada penyanyi yang pernah mendapat jolokan Raja SMS itu.

"Saya agak terkejut juga bila dia melamar saya pada waktu itu. Dia cakap, dia sudah buat keputusan untuk berkahwin dengan saya.

"Memang banyak cabaran yang saya lalui, tetapi dalam tempoh tersebut, Mawi banyak memberi sokongan. Begitu juga dengan keluarga saya.

"Lama-kelamaan, saya semakin kenal erti kesabaran dan Insya-Allah, saya berharap dapat menjadi isteri yang solehah," tutur kembar kepada pelakon Nore'Ain Rahmat atau Ain ini.

Mengimbas kembali kisah cinta pasangan ini, Mawi dan Ekin mula mencuri perhatian media sejak jejaka berasal dari Felda Taib Andak, Johor itu memutuskan pertunangan dengan penyanyi Ina Naim yang menjadi antara topik panas di media-media tempatan.

Pelbagai cerita yang timbul ekoran kes itu dan sudah tentu, Ekin yang mula berkenalan dengan penyanyi tersebut pada Februari 2007 menjadi 'mangsa' kutukan peminat-peminat setia Mawi yang merasakan Ekin adalah punca kepada kegagalan hubungan Mawi dan Ina.

Walaupun berkali-kali penjelasan dibuat oleh Mawi mahupun Ekin yang menegaskan hubungan mereka terjalin atas dasar persahabatan, pasangan ini tetap menjadi buruan media lebih-lebih lagi apabila tersebarnya pula gambar Mawi bersama Ekin sekeluarga ketika penyanyi itu berkunjung ke rumah keluarga pelakon itu sempena Hari Raya tahun lalu.

Di mana-mana saja majlis yang dihadiri oleh Mawi, soalan berkisarkan hubungannya bersama Ekin tidak pernah lekang diajukan oleh media.

Ditambah pula dengan khabar angin yang mengatakan pasangan itu dalam diam-diam sedang merancang untuk berkahwin. Sehinggalah Mac lalu apabila Mawi akhirnya mendedahkan dia dan Ekin sememangnya mempunyai hubungan istimewa yang terbentuk setelah persahabatan yang terjalin antara kedua-duanya sebelum ini menampakkan keserasian.

"Pada awalnya, kami hanya berkawan setelah diperkenalkan oleh rakan. Saya lihat dia seorang yang 'sempoi'. Kami sering keluar makan bersama sebagai kawan saja. Dari situ, kami mula sedar ada keserasian," tutur Mawi.

Ekin yang berada di sebelah penyanyi itu turut mencelah dan menyifatkan Mawi adalah seorang yang ceria, memahami dan 'sporting' yang membuatkannya tertarik untuk meneruskan hubungan di tahap yang lebih serius.

Mengulas lanjut tentang majlis perkahwinan mereka, kata Mawi, segala persiapan sedang terus dibuat oleh pasangan tersebut dengan bantuan keluarga, pihak Astro dan pihak-pihak tertentu.

Mawi bagaimanapun tidak mendedahkan tentang wang hantaran yang bakal diberikan kepada Ekin kelak dan dalam nada ceria hanya berkata: "Hantaran masih lagi sedang dibincangkan. Saya pun tak tahu lagi berapa (jumlah) kerana setiap kali saya bertanyakan kepada ibunya, dia akan cakap tidak kisah berapa pun."

Namun, pasangan ini mengesahkan sebanyak sembilan dulang hantaran akan diberikan oleh pihak Mawi kepada Ekin manakala 11 buah dulang akan dibalas oleh pihak Ekin.

Pada majlis akad nikah dan persandingan di pihak perempuan, pasangan tersebut akan menggayakan busana rekaan Cosry manakala pelamin akan direka khas oleh Naz Great Idea.

Resepsi seterusnya di pihak Mawi pada 28 Disember pula, busana dan pelamin akan diuruskan oleh Zulfazli yang akan menggunakan baju rekaan Arma Couture untuk digayakan oleh bakal pengantin ini.

Busana yang bakal dipakai oleh Mawi dan Ekin pada resepsi istimewa di Palace of the Golden Horses pula akan melibatkan beberapa pereka fesyen terkenal dan antara yang telah disahkan ialah Rizalman dan Bon Zainal.

"Saya akui, memang ramai penaja yang terlibat di dalam majlis ini. Tetapi bukanlah semuanya ditaja, ada juga yang saya keluarkan duit sendiri. Kalau diikutkan, saya memang hanya inginkan majlis yang sederhana.

"Tetapi, saya juga serba-salah. Kalau buat kecil-kecilan, nanti orang kata saya kedekut. Tetapi kalau buat secara besar-besaran, orang akan cakap saya menunjuk-nunjuk pula.

"Apapun, saya rasa apa yang saya buat ini adalah satu cara untuk balas jasa peminat. Saya mahu mereka semua dapat memeriahkan majlis saya itu nanti. Sebab itu saya juga ingin adakan konsert istimewa buat mereka semua sehari sebelum resepsi di Kulai. Konsert itu adalah impian saya sebenarnya.

"Saya sendiri turut mendapatkan bantuan penduduk-penduduk kampung saya di Felda Taib Andak untuk menguruskan majlis resepsi saya nanti agar dapat berjalan dengan lancar," kata Mawi yang masih belum memutuskan senarai tetamu jemputan khas mahupun golongan VIP yang akan dijemput pada majlis itu.

Kad jemputan perkahwinan mereka yang ditempah khas di Jakarta, Indonesia juga akan diedarkan kelak.

Ditanya sama ada benar khabar angin yang mengatakan pasangan ini akan dibawa ke tempat berlangsungnya majlis persandingan mereka dengan menggunakan helikopter, Mawi secara ringkas menjawab:

"Mungkin. Mungkin di resepsi saya di Felda Taib Andak."

Mengulas tentang perancangan selepas berkahwin nanti, kata Mawi, karier seninya akan bergerak seperti biasa dan dia juga tidak menyekat Ekin untuk meneruskan kerjaya seninya jua.

"Saya tidak pernah menyekat dia untuk terus berada di dalam industri ini. Itu terpulang kepada dirinya, saya tidak halang. Bagi diri saya sendiri, pastinya karier saya akan berjalan seperti biasa.

"Saya juga berhasrat untuk lebarkan karier di dalam bidang penyiaran pula...mungkin sebagai hos. Tetapi bidang nyanyian tetap akan menjadi keutamaan saya. Begitu juga dengan tawaran berlakon, jika ada watak yang bersesuaian, saya akan pertimbangkan," katanya.

Ekin juga tidak menolak andai kata ditawarkan untuk menjadi hos bersama Mawi untuk mana-mana program kelak.

"Tidak salah kalau saya mencuba kalau ada peluang. Tentang bidang lakonan pula, tengoklah dulu macam mana tawarannya. Saya pun memang sudah lama tidak berlakon. Dulu saya terpaksa berhenti seketika kerana tidak tahan dengan macam-macam kontroversi yang melanda," akui Ekin.

Habuan RM5 juta daripada Astro tidak benar

Tatkala spekulasi tentang majlis perkahwinan pasangan ini rancak diperkatakan, isu hak eksklusif untuk siaran majlis hebat itu juga menjadi bualan banyak pihak. Stesen Media Prima dan Astro dikatakan saling 'membida' untuk mendapatkan hak siaran tersebut.

Mawi dikatakan juga menerima bayaran sebanyak RM5 juta daripada Astro agar stesen tersebut dapat menjadi penyiar rasmi majlis mereka.

Diajukan perkara ini kepada penyanyi tersebut, Mawi bagaimanapun menafikannya.

"Itu tidak benar," kata Mawi, ringkas.

Perkara itu dijelaskan dengan lanjut oleh Pengarah Eksekutif Astro Entertainment, Zainir Aminullah yang turut hadir pada sidang media tersebut yang menyifatkan jumlah tersebut tidak relevan.

"Majlis itu adalah sesuatu yang istimewa tambahan pula Mawi adalah kelahiran daripada produk Astro sendiri iaitu menerusi Akademi Fantasia. Isu jumlah bayaran itu memang tidak relevan kerana apa yang boleh saya katakan, kami di Astro hanya ingin memberikan persembahan yang terbaik kepada peminat-peminat dan penonton Astro.

"Saya akui, banyak juga kos yang dikeluarkan untuk seluruh program sempena perkahwinan Mawi ini, apatah lagi ia melibatkan tiga saluran Astro iaitu Oasis, Ria dan prima.

"Tetapi tidak timbul isu kami membeli 'hak' atau sebagainya. Ini adalah kerjasama yang kami buat bersama Mawi. Dia juga turut menghadiri mesyuarat yang kami jalankan setiap minggu untuk memberikan idea bersama," kata Zainir.

Menurutnya, perancangan untuk menyiarkan majlis perkahwinan selebriti itu dibuat setelah Astro sendiri mendapat tahu bahawa Mawi sedang membuat persiapan untuk menamatkan zaman solonya.

"Kita tidak pernah terfikir untuk 'berlawan' dengan mana-mana stesen televisyen. Sebenarnya di pihak Maestro iaitu label yang menguruskan karier Mawi, perancangan itu memang sudah lama dibuat, cuma di pihak Astro saja kami baru mulakan perancangan ini beberapa bulan lalu.

"Bukan untuk mendapat 'rating' atau sebagainya, tetapi kami menganggap Mawi adalah sebagai anggota keluarga Astro. Jika dapat menaikkan rating, baguslah. Tetapi jika tidak pun, kami sudah cukup gembira kerana dapat memberikan persembahan menarik untuk peminat-peminatnya," jelas Zainir.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain