SETELAH menobatkan Hamiza Tashya Mohd Bashir sebagai juara sulungnya, program pencarian bakat MyStarz LG kembali untuk musim kedua dengan menampilkan 12 finalis yang bakal berentap bagi merebut gelaran juara sekaligus memenangi wang tunai RM100,000 serta peluang menjadi artis rakaman Warner Music Malaysia.Program yang telah memulakan siaran episod pengenalan di TV3 pada 19 Oktober lalu akan menyaksikan kesemua finalis yang terpilih daripada ujibakat yang diadakan di lima buah lokasi di seluruh Malaysia ini mempamerkan kehebatan bakat masing-masing pada konsert mingguan program ini yang akan disiarkan secara langsung dari Dewan MBSA, Shah Alam pada setiap Ahad, jam 10 malam. Dua belas finalis tersebut ialah Jassica Leow Lyye (Johor Bahru), Noriezuana Syed Shafudin (Skudai, Johor), Norshamimi Ahmad Haris (Alor Star, Kedah), Wan Nashrinie Zafri (Seberang Perai, Pulau Pinang), Mohd Azri Abdullah (Klang, Selangor), Lee Elaine(Subang Jaya, Selangor), Mohd Farouk Jayfiena Ermand (Petaling Jaya, Selangor), Awang Sri Iskandar Bahrin (Beufort, Sabah), Mohd Hairi Kenneth (Kota Kinabalu, Sabah), Julylen Liew @ Gzell (Menggatal, Sabah), Fiona Anak John Nolly (Kuching, Sarawak) dan Cassandra Daniel Manja (Batu Kawa, Sarawak).Mereka akan menerima tunjuk ajar dan nasihat profesional daripada para mentor yang terdiri daripada penghibur dan penerbit tersohor tanahair di LG House, sebuah ruang atau studio yang disediakan khas dengan kelengkapan produk oleh LG untuk pembelajaran semua peserta tersebut.Mengulas mengenai format program ini, kata penerbit eksekutifnya, Fadzliniza Zakaria, selain menetapkan had umur peserta yang antara 18 hingga 24 tahun, sistem pemarkahan di dalam MyStarz LG kali ini tetap mengekalkan 70 peratus markah daripada juri profesional dan 30 peratus lagi terletak di tangan penonton.Dua juri tetap untuk MyStarz LG musim ini ialah dua penyanyi berkaliber, Hattan dan Liza Hanim manakala seorang juri jemputan akan muncul pada setiap episod.Meskipun akan ada penyingkiran pada setiap minggu, peserta tersebut masih lagi berpeluang meneruskan latihan di LG House bersama peserta-peserta yang masih kekal."Kita tetap kekalkan sistem yang sama seperti dulu, cuma pada musim ini, kita tidak lagi menggunakan khidmat Pengetua, sebaliknya kita mewujudkan sebuah pasukan mentor yang terdiri daripada penyanyi popular Lah Ahmad, koreografer Raimee Salleh dan pereka fesyen terkenal, Syaiful Baharim yang berperanan sebagai konsultan imej finalis."Ada bagus dan tidaknya jika kita menggunakan konsep Pengetua di dalam program ini. Bagi kami, jika tiada Pengetua, peserta lebih bebas untuk menyumbangkan idea masing-masing."Cuma apabila tiada lagi khidmat Pengetua seperti dulu, kami di pihak penerbitan perlu memberi lebih perhatian lagi kepada keseluruhan perjalanan program ini," kata Fadzli yang ditemui pada majlis pelancaran MyStarz LG di Bandar Utama, baru-baru ini.Dalam pada itu, ditanya tentang perkembangan juara musim pertama, Hamiza Tashya, yang dilihat agak 'senyap' selepas memenangi program tersebut tahun lalu, kata Fadzli, Tashya ketika ini sedang merakamkan album secara 'independent' atau bebas."Dia tidak berada di bawah mana-mana label, tetapi ketika ini dia sedang di dalam proses rakaman secara bebas. Musim pertama dulu memang kita tidak bekerjasama dengan mana-mana label, tetapi kali ini pemenangnya berpeluang berada di bawah Warner Music."Pihak Warner akan menguruskan halatuju karier seni pemenang selepas itu," kata Fadzli lagi.