SELAMA sembilan tahun menyulam cinta bersama, dua pelakon popular Indonesia ini, Christian Sugiono dan Titi Kamal belum pernah berpeluang bergandingan bersama di dalam mana-mana drama mahupun filem.Bukannya tiada tawaran diberikan, namun jelas pasangan selebriti ini, ketika itu tidak ada satu pun daripada tawaran tersebut yang benar-benar menarik perhatian mereka setelah meneliti skrip dan jalan ceritanya. Sehinggalah Sharad Sharan yang pernah mengarah filem Diva lakonan Ning Baizura tahun lalu muncul dengan tawaran yang berjaya memikat hati Chris dan Titi untuk memegang watak Rudy dan Wulan di dalam filem Tipu Kanan Tipu Kiri (TKTK).Filem yang turut dibintangi oleh pelakon-pelakon tempatan seperti Datin Natasha Hudson, Hans Isaac, Sazzy Falak, Azwan Ali dan Fauzi Nawawi telah pun mula ditayangkan di seluruh pawagam tempatan sejak 16 Oktober lalu manakala di Indonesia pula tayangannya telah bermula pada 11 September lepas.Ditemui pada malam gala filem tersebut baru-baru ini, Chris akui jalan cerita yang menarik serta berpeluang menyertai projek usahasama Malaysia-Indonesia ini membuatkan dirinya tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran tersebut.Lantas aktor berusia 27 tahun ini bersama kekasihnya, Titi nekad menghubungi pihak produksi filem ini dan menyatakan kesudian mereka untuk digandingkan bersama di dalam filem yang turut menyuntik elemen Bollywood di dalamnya."Projek ini cukup istimewa buat saya. Bukan saja kerana dapat bergandingan bersama Titi buat pertama kalinya di dalam filem, tetapi peluang berkenalan dengan pelakon-pelakon Malaysia yang cukup berbakat."Membawakan watak sebagai suami isteri bersama Titi tidak sukar kerana kami sudah lama berpacaran dan telah kenal hati budi masing-masing. Cuma bezanya, di dalam filem ini kami bukan pasangan kekasih lagi, tetapi sudah berkahwin," ujar pelakon yang pertama kali muncul di layar perak negara seberang sekitar tahun 2005 menerusi filem Catatan Akhir Sekolah.TKTK mengisahkan tentang Rudy (Chris) yang berkahwin dengan Wulan (Titi), seorang penyanyi popular Indonesia dan dikenali di negara Asia lain. Namun perkahwinan mereka perlu dirahsiakan memandangkan syarat kontrak Wulan dengan syarikat rakamannya tidak membenarkannya berkahwin.Rudy dan Wulan berpindah ke Malaysia supaya perkahwinan mereka tidak diketahui ramai. Namun, timbul kekecohan apabila bos di tempat kerja baru Rudy, Remo (Hans Isaac) mengarahkan Rudi membawa isterinya ke sebuah majlis anjuran syarikat itu.Disebabkan terpaksa, Rudy meminta bantuan seorang penari dan penyanyi kelab bernama (Natasha) untuk berlakon sebagai isterinya tanpa pengetahuan Wulan. Lakonan tersebut menjerat dirinya sendiri apabila dalam diam, timbul perasaan cinta antara Rudy dan Sarah.Bercerita mengenai watak Rudy pula, kata Chris, dia belum pernah membawakan karektor seperti itu di dalam mana-mana filem atau drama lakonannya."Ini adalah filem kesembilan lakonan saya dan sememangnya karektor Rudy di dalam filem ini cukup berbeza dengan watak-watak yang pernah saya bawakan sebelum ini. Agak mencabar juga terutamanya untuk adegan menari memandangkan saya tidak pernah ada asas menari."Tetapi sepanjang 42 hari penggambaran, saya rasa berpuas hati dengan lakonan saya. Sangat menyenangkan dapat bekerja dengan pelakon Malaysia, pengarah dan semua krew terlibat. Mereka banyak membantu saya dari segi bahasa," tutur Rudy yang turut gembira dengan sambutan ramai terhadap filem ini di Indonesia.Sementara itu, Titi juga melahirkan rasa gembiranya kerana akhirnya dapat bekerjasama dengan Chris di dalam sebuah filem."Rasanya, sudah tiba masa untuk kami bergandingan bersama. Kami amat gembira dan merasakan projek ini sebagai satu memori peribadi juga," ujar Titi yang menambah mereka masih belum memikirkan tentang perkahwinan lagi buat masa ini.Pelakon dan model berusia 26 tahun ini juga akui seronok membawakan watak Wulan meskipun karektor tersebut dianggap 'pelik' olehnya."Saya memang suka, tetapi watak itu agak aneh bagi saya kerana dari mula hingga akhir filem, watak Wulan ini asyik terjerit-jerit. Apapun, seronok dapat menjadi Wulan kerana karektor ini unik."Saya tidak mahu bawakan watak seorang isteri yang cemburu dalam bentuk tipikal. Ia akan jadi bosan kalau kita asyik pamerkan karektor yang sama saja, sebab itu saya cuba berikan kelainan sedikit kepada watak Wulan, seorang yang manja dan kuat cemburu," kata Titi.