suria

Adlin Nurul Syuhada tampil kematangan Anugerah Skrin 2008

SETIAP kritikan yang diberikan dalam Anugerah Skrin 2007 tidak dipandang ringan oleh pihak TV3 bagi memastikan kesilapan lalu tidak diulangi lagi.

Bagi merealisasikan matlamat mereka untuk menjadikan majlis berprestij ini lebih berjaya, gandingan hebat pengacara, pelakon dan pengarah berbakat, Adlin Aman Ramli dan personaliti TV3, Nurul Syuhada sebagai pengacara majlis menjadi taruhan utama Anugerah Skrin 2008 (ASK 2008).

Mungkin ada yang akan memikirkan gandingan mereka nampak lebih formal dan belum pasti sama ada mereka ini sesuai untuk digandingkan bersama.

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin melihat pemilihan ini sebagai suatu anjakan paradigma sekaligus memberi peluang kepada muka-muka baru untuk menjayakan majlis anugerah yang telah berusia 10 tahun ini.

"Anugerah Skrin sudahpun memasuki tempoh usia yang matang di mana ianya dinanti-nantikan oleh para karyawan dan artis tanahair untuk menjulang nama mereka setelah berhempas pulas memberikan yang terbaik untuk industri.

"Pemilihan Adlin Aman Ramli sebagai pengacara majlis tersebut merupakan pilihan yang sesuai berdasarkan pengalaman dan kredibilitinya sebagai penghibur berbakat. Pihak kami yakin, disebalik usia muda dan masih 'hijau' di dalam bidang pengacaraan, Nurul Syuhada mampu untuk menggalas tanggungjawab besar ini berdasarkan kepetahan dan karismanya beraksi dan mengendalikan tugasan di hadapan kamera," jelas Amrin ketika majlis pelancaran ASK 2008 di Hotel One World, Bandar Utama semalam.

Baginya, selepas Anugerah Skrin berkembang sejak 10 tahun lalu, kini anugerah ini cuba tampil dan membuat kelainan berbanding malam anugerah penggiat seni lain seperti Festival Filem Malaysia.

Walaupun namanya adalah pengiktirafan kepada penggiat seni yang sama seperti malam-malam anugerah yang lain, TV3 sentiasa memberikan pembaharuan kepada Anugerah Skrin dari semasa ke semasa.

"Jika tahun lalu tiada penerima Anugerah Khas Juri, namun ASK 2008 meneruskan tradisi di mana Anugerah Khas Juri akan dinobatkan kepada penerima bertuah yang akan diumumkan pada malam tersebut. Anugerah tersebut akan diberikan kepada mereka yang telah banyak memberikan sumbangan kepada industri perfileman tanahair.

"Majlis ini lebih memberikan penekanan kepada drama dan telefilem. Selain itu, ASK 2008 juga mengenengahkan kategori penerbitan dalaman dan filem," ulas Amrin.

Sejajar dengan perkembangan industri hiburan tanahair yang semakin berkembang, majlis berprestij ASK 2008 memilih tema 'Berlian' simbolik kepada sumbangan artis dan karyawan yang diibaratkan seperti berlian yang tidak ternilai harganya.

Majlis yang turut memilih warna tema biru dan perak ini akan berlangsung pada 7 November ini, pukul 9 malam hingga 11.30 malam bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang dibawakan secara langsung oleh TV3.

ASK 2008 tidak pernah sunyi dengan persembahan-persembahan hebat daripada selebriti terkenal tanahair seperti Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Adibah Noor, Lah, Noryn Aziz dan Nikki.

Nantikan kemunculan istimewa dramatis tanahair iaitu Erry Putra, Adi Putra, Emelda Rosmila dan Faradhiya yang buat pertama kalinya bergandingan menyampaikan medley istimewa sambil berdansa di bawah tunjuk ajar koreografi terkenal, Sazlan Mat Adnan dan Pat Ibrahim. Persembahan mereka akan diiringi oleh kumpulan muzik bimbingan pengarah muzik terkenal, Aubrey Suwito.

Kali ini, sebanyak 22 kategori dipertandingkan berbanding 20 kategori pada tahun lepas meliputi drama, filem dan penerbitan dalaman. Apa yang menariknya, ASK 2008 menyaksikan dua lagi kategori diperkenalkan bagi kategori filem iaitu Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Secara keseluruhannya, sembilan kategori dipertandingkan bagi kategori drama, drama rantaian dan drama komedi, tujuh kategori dari filem dan enam kategori bagi penerbitan dalaman.

Calon-calon yang dipertandingkan untuk 22 kategori ini terdiri daripada terbitan yang telah ditayangkan di TV3, RTM1, RTM2, TV9, NTV7, 8TV, Astro Ria serta Astro Prima dan pawagam mulai 1 Julai 2007 hingga 30 Jun 2008 selain pencalonan drama yang bedasarkan catatan jumlah penonton yang berjaya diraih mengikut kajian AGB Nielsen mengikut 'genre' masing-masing.

Untuk kategori drama yang dipertandingkan, siaran ulangan drama-drama tersebut ditayangkan di slot Cerekarama bermula dari 16 Ogos hingga 26 Oktober nanti.

Antara drama yang dicalonkan adalah Kehangatan Lantana (TV3), Ihsan (TV3), Tuhan Pun Tahu (TV3), Pulanglah Di Aidilfitri (RTM1), Kebun Pisang Tok Mudim (RTM2), Raya Sedondon (TV9), Aku Bukan Buaya (NTV7) dan Hang 2 (Astro Ria).

Manakala drama rantaian yang dipertandingkan termasuklah Jelatang (TV3), Manjalara (TV3), Tangisan Bulan Madu (RTM2), Ghost (8TV) dan Jangan Main Belakang (Astro Ria). Drama komedi pula melibatkan Mr. Mama (TV3), Bujang Antik (RTM1), Pak Pandir Moden (TV9), Gaia (Astro Ria) dan Di Bawah Ketiak Isteri (Astro Prima).

Antara 22 buah filem cereka tempatan yang dipertandingkan pula adalah Kayangan, Impak Maksima, 1957: Hati Malaya, Kala Malam Bulan Mengambang, Cuci, Duyung, Congkak, Pensil dan Sepi.

Seperti tahun lalu, ASk 2008 turut menyelitkan anugerah khas oleh pihak penaja, Pantene yang selama tiga tahun berturut-turut menaja Anugerah Skrin iaitu Anugerah Pantene Shine.

Antara selebriti yang dicalonkan untuk anugerah tersebut kali ini adalah Jue Aziz (Jangan Main Belakang), Ayu Raudhah (Pulanglah Di Aidilfitri), Wan Sharmila (Abang Mak Panggil Balik), Carmen Soo (Ghost) dan Sherry Ibrahim (Elly).

Para penonton boleh mengundi calon-calon Anugerah Pantene Shine dengan menghantar pesanan ringkas yang dikenakan bayaran sebanyak RM0.50 mulai 19 Oktober hingga 7 November ini, pukul 4 petang.

Cara-cara untuk mengundi seperti berikut:

JUE-Jue Aziz AYR-Ayu Raudhah WNS-Wan Sharmila CMS-Carmen Soo SHR-Sherry Ibrahim

Program istimewa sempena ASK 2008 iaitu Prelud Anugerah Skrin akan menemui penonton pada 29 Oktober ini, pukul 6 petang. Pengacaranya, Fouziah Gous akan bersama-sama penonton berkongsi tips mengenai fesyen menarik yang sesuai untuk digayakan pada malam gemilang ASK 2008, persiapan yang dilakukan oleh tenaga produksi ASK 2008, debaran dan harapan para finalis menjelang malam tersebut.

Bagi para peminat yang ingin menyaksikan acara gemilang ini boleh mendapatkan tiket di Balai Pengawal Sri Pentas mulai 22 Oktober ini. Selain menonton TV3, penonton boleh melayari laman web www.tv3.com.my yang akan membawakan klip menarik di sebalik tabir, kemeriahan hamparan merah dan penyampaian anugerah secara langsung.

Stesen radio Hot Fm merupakan stesen radio rasmi ASK 2008.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain