suria

Artis veteran setia bersama Datuk L Krishnan

TIADA apa yang menggembirakan hati pengarah filem terkenal Datuk L. Krishnan apabila rakan-rakan seperjuangannya dalam industri seni hiburan tanahair meraikan hari ulangtahun kelahirannya yang ke-86 pada 21 Oktober lalu.

Antara mereka yang hadir adalah pelakon Datuk Aziz Sattar, Datuk Mustapha Maarof, Datuk Maria Menado, Mariani, Datin Umi Kalsom, dan Kassim Masdor.

Kata Krishnan, beliau berasa seronok apabila dapat berjumpa dengan rakan-rakan yang pernah bekerjasama dengannya kecuali Datin Rosnani Jamil yang tidak dapat hadir pada malam itu.

Sambutan hari jadi yang diadakan di Restoran Cina, Kelab Diraja Selangor, Kuala Lumpur itu turut dihadiri oleh isterinya, Datin Rukhmanwe, 45 dan anak lelakinya, Prem, 52.

Bertanya tentang keadaan pelopor industri perfileman sejak tahun 1950 ini, kehidupannya kini lebih memfokuskan kepada karier di makmal filem.

"Dulu, orang mengenali saya sebagai pembuat filem dan penggilap bakat artis dalam industri ini seperti Datuk Maria Menado, Kassim Masdor, dan Wahid Satay.

"Sekarang, banyak yang saya sudah lupa tetapi saya mendoakan supaya kehidupan saya lebih maju ke depan dan fikiran tidak nyanyuk. Harap-harap, saya dapat meneruskan cita-cita saya sehingga tahun 2020," ujar Krishnan sambil tersenyum.

Datuk kepada dua cucu ini turut meluahkan pendapatnya tentang publisiti yang diberikan oleh media sekarang. Namun, dia tetap tidak menyalahkan sesiapa sebaliknya menegaskan pemikiran dan arus pemodenan mengubah segala-galanya.

"Bidang apa pun, kontroversinya berbeza dengan yang lain kerana setiap orang mempunyai fikiran berbeza sejak tahun 1950 lalu," ulasnya.

Krishnan juga bercerita tentang kelainan yang beliau temui dalam dunia artis sekarang.

"Mungkin gerak-geri dan fikiran bintang filem dan pengarah mempunyai sedikit persamaan. Jika ada pun, hanya sedikit kelainan. Dulu, artis patuh kepada produser dan pengarah. Fikiran dan pengalaman mereka juga berlainan.

"Tetapi, saya tak nak salahkan artis sekarang ini kerana keadaan dan fikiran dulu dan sekarang adalah berlainan. Lagipun, jarak waktu pada tahun 1950 dan 2008 sangat jauh," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, rakan-rakan Krishnan seperti Mariani, Aziz Sattar dan Kassim Masdor juga sempat bercerita tentang pengalaman mereka ketika bekerja dengan Krishnan dahulu.

Kata Mariani, "Saya masih ingat lagi semasa saya mula-mula membuat ujibakat dengannya pada tahun 1953, saya tak dapat. Tetapi, benda tu semua dah berlalu dan saya pun sudah bergelar pelakon. Setiap hari, beliau ingat orang-orang lama. Saya doakan dia sihat dan gembira selalu.

"Berlakon di bawah pengarah India tiada banyak bezanya kerana pertuturannya sama. Mereka juga menerapkan sedikit kebudayaan Melayu dalam setiap lakonan kami. Kami hanya perlu mengikut arahan mereka dan memahami dialog yang bakal dilakonkan. Semua pelakon Melayu menghormati mereka begitu juga sebaliknya.

"Kami dah dilantik untuk berdisiplin sebab itu kami selalu risau kalau datang lambat semasa berlakon sekarang. Saya lihat pelakon sekarang banyak yang bernasib baik."

Sementara itu, Aziz Sattar pula menyatakan perasaan sayangnya kepada Krishnan kerana beliau tidak pernah dihampakan oleh pengarah tersebut.

"Dalam mana-mana majlis yang saya jemput, dia mesti datang. Tidak pernah dia menolak melainkan jika tidak sihat. Saya amat menghormatinya kerana dia tidak pernah kecilkan hati saya.

"Dengan keberkatan usianya yang menjangkau 86 tahun ini, saya doakan beliau dan semua artis veteran dipanjangkan umur. Kemungkinan selepas ini, ada orang lain yang dapat membantu kita kerana sebelum ini Krishnan banyak membantu kami," tutur Aziz yang turut hadir bersama isterinya, Datin Hashimah Delan.

Dalam masa yang sama, Aziz turut berharap supaya industri perfileman sekarang dapat melahirkan filem-filem yang lebih baik daripada terdahulu.

Kassim Masdor pula menambah,"Orang dulu bekerja untuk seni dan bukan untuk glamor. Orang sekarang beruntung kerana mendapat gaji yang berlipat ganda. Bagi kami dulu, gaji RM150 pun sudah besar nilainya."

Kassim Masdor mula berlakon dengan Krishnan melalui filem Rayuan Sukma sewaktu beliau kecil dan apabila dewasa, watak yang dipegangnya ketika itu dilakonkan oleh Ali Rahman.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain