PETALING JAYA: "Saya ucapkan tahniah buat Mawi dan sebagai seorang sahabat, saya harap Mawi dapat menjadi seorang suami yang baik dan soleh kelak," - luah Nordiana Mohd Naim atau turut dikenali dengan panggilan Ina Naim berhubung dengan perkahwinan penyanyi popular itu pelakon Nora'Ashikin Rahmat atau Ekin pada 20 Disember depan.Ina yang kini bahagia menjalani kehidupan sebagai isteri kepada penyanyi nasyid Mohd Suhaimi Saad dan ibu kepada Ehmad Hadie El Fardie, 4 bulan, berkata, dia tidak mahu lagi kisah lamanya diungkit semula dan tetap menghargai hubungan persahabatan mereka. Ditanya sama ada dia ada menerima undangan ke majlis perkahwinan penyanyi yang mendapat jolokan Raja SMS itu, Ina secara ringkas menjawab:"Tak ada. Tetapi jika ada jemputan, Insya-Allah saya dan suami akan hadir jika ada kelapangan."Mengenai perkembangan terkininya, Ina akui dirinya kini selesa menjadi surirumah sepenuh masa sambil memberikan tumpuan kepada anak sulungnya yang baru berusia empat bulan itu.Walaupun rindu untuk kembali di dalam bidang nyanyian, tutur ibu muda berusia 24 tahun ini, dia tidak kisah melupakan bidang tersebut kerana baginya, keutamaan perlu diletakkan terhadap keluarga."Ada juga peminat bertanya kepada saya bila saya akan menyanyi semula. Sebagai isteri, saya perlu mengikut kehendak suami yang lebih suka jika saya tidak menyanyi lagi dan tumpukan perhatian kepada keluarga saja."Tetapi saya masih lagi terima undangan untuk sesi fotografi bersama media. Itu tidak menjadi masalah kepada saya dan suami. Malah, suami juga tidak menghalang jika ada tawaran sebagai pengacara mana-mana program, cuma bukan sebagai penyanyi lagi," kata Ina yang pernah popular dengan lagu Duhai Hati tidak lama dulu.Kisah Ina dan Mawi cukup hangat diperkatakan kira-kira dua tahun lalu setelah ikatan pertunangan yang diikat selama setahun setengah terputus sekitar Julai 2006.Episod duka itu bagaimanapun membawa hikmah buat wanita berasal dari Kota Tinggi, Johor ini apabila dia dilamar Hijjaz Records Sdn Bhd (HRSB) untuk menjadi artis rakaman dan Ina sempat menghasilkan sebuah album solo berkonsepkan nasyid pop.Ina juga pernah menghasilkan buku 'Catatan Duka Diana Naim' yang dipasarkan pada Ogos 2006 yang menceritakan segala-galanya tentang percintaannya bersama Mawi.Sebelum mendirikan rumahtangga bersama Suhaimi pada 12 Ogos 2007, Ina juga sempat bergelar pelakon dan pernah muncul di dalam drama bersiri Air Mata Maria terbitan Skop Productions.