suria

Perubahan Erra setelah hamil 19 minggu

Barisan pelakon utama Mertua Vs Menantu, Rozie Othman (kiri), Aqasha dan Erra ketika majlis sidang media di Bora Ombak semalam. -foto The Star oleh DARRAN TAN
Barisan pelakon utama Mertua Vs Menantu, Rozie Othman (kiri), Aqasha dan Erra ketika majlis sidang media di Bora Ombak semalam. -foto The Star oleh DARRAN TAN
Barisan pelakon utama Mertua Vs Menantu, Rozie Othman (kiri), Aqasha dan Erra ketika majlis sidang media di Bora Ombak semalam. -foto The Star oleh DARRAN TAN

MELIHAT susuk tubuh aktres Erra Fazira yang semakin berisi dan montok sekarang menampakkan perubahan setelah hamil selama 19 minggu.

Wajah bakal ibu ini juga berseri-seri dan tidak lekang membalas senyuman sesiapa yang menyapanya.

Walaupun sedang hamil, dia tetap bersemangat untuk menyelesaikan pengambaran drama bersiri Mertua Vs Menantu yang kini telah memasuki musim kedua.

"Berlakon ketika berbadan dua ini penat sedikit lebih-lebih lagi apabila membuat drama. Jadi, penatnya lebih berganda.

"Namun, semangat baru yang saya pupuk sekarang membantu untuk mengurangkan penat.

"Kebetulan, siri ini mengikuti perkembangan kandungan saya, jadi semuanya akan nampak lebih realistik. Sehingga kini kami masih menjalani pengambaran lagi," ujar Erra ketika sidang media pelancaran drama Mertua Vs Menantu di Restoran Bora Ombak, Ampang semalam.

Bertanya tentang perubahan yang dialaminya kini, beritahu Erra, dia bernasib baik kerana tidak terkena alahan dan muntah-muntah.

Hanya semasa mula-mula dahulu badannya agak lemah sedikit kerana waktu itu bulan puasa.

"Waktu kami berlakon dalam pukul 10 malam, saya dah tak boleh buka mata. Selepas itu, krew produksi terus wrap sebab mereka faham keadaan saya," cerita wanita berusia 34 tahun ini.

Untuk perancangan masa depan, Isteri kepada Ketua Pegawai Operasi Suria FM Engku Emran Engku Zainal Abidin ini bercadang untuk berehat pada bulan Februari tahun depan memandangkan dia dijangka bersalin sebulan selepas itu.

"Itu hanya cadangan, tetapi kalau bulan Disember dah tak larat, saya akan berehat," kata Erra yang lebih menumpukan bidang lakonan daripada nyanyian.

Jelas Erra, dia masih mampu menyanyi jika sesebuah persembahan itu memperuntukkannya menyanyi dalam dua hingga tiga buah lagu sahaja.

Diajukan tentang tindakan suaminya, Emran apabila dia masih aktif dalam kariernya, Erra berkata Emran selalu mengambil berat tentang dirinya dan tidak jemu-jemu menasihatnya supaya cukup rehat dan tidur serta jangan terlalu kuat bekerja.

Sebagai persediaan, Erra banyak membaca buku-buku tentang wanita hamil dan merancang untuk berpantang secara tradisional selepas bersalin nanti.

Tambah Erra, dia juga dilarang menaiki kapal terbang demi menjaga keadaan kandungannya.

Menurut Erra yang bertambah berat badan sebanyak 8 Kg, dia sebolehnya ingin merahsiakan jantina anak mereka disebabkan Emran tidak mahu mengetahuinya sehingga bayi mereka dilahirkan.

Saksikan perkembangan kandungan Erra melalui siri Mertua Vs Menantu musim kedua yang sedang disiarkan di Astro Prima saluran 105 setiap Rabu, pukul 10 malam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain