suria

Media Prima Berhad meterai perjanjian persefahaman dengan UiTM

Majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara syarikat konglomerat media terbesar Malaysia, Media Prima Berhad (MPB) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah diadakan baru-baru ini di Sri Pentas, Bandar Utama.

Majlis ini disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Dato’ Sri Farid Ridzuan bersama-sama Naib Canselor Universiti Tekonolgi MARA, Dato’ Seri Prof. Dr Ibrahim Abu Shah dan disaksikan oleh Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Media Prima Berhad, Encik Amil Izham Hamzah dan Pendaftar UiTM, Dr. Hajah Zahrah Mokhtar dengan kehadiran Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Media Prima, Dato’ Abdul Mutalib b. Datuk Seri Mohamed Razak.

Menurut Dato’ Sri Farid Ridzuan, ”MPB amat berbesar hati untuk menjalankan tanggung jawab sosial kami dengan menjalinkan perjanjian persefahaman ini bersama UiTM yang telah berjaya melahirkan ramai graduan yang cemerlang.

Ia merupakan kebanggaan kepada kami untuk melihat kejayaan anak bangsa Malaysia dan kesungguhan para pendidik yang berusaha melahirkan generasi yang global dan beretika sebagai pelapis generasi kini.

Pihak kami bersedia untuk memberikan kerjasama di dalam memartabatkan usaha murni pihak UiTM untuk melihat graduan mereka mempunyai masa depan yang lebih terjamin dengan latihan dan pendedahan yang pihak MPB berikan kepada para pelajar.”

Kolaborasi persefahaman yang termeteri ialah Penyelidikan dan Pembangunan, Perundingan, Latihan dan Seminar, Penerbitan, Filem & Animasi dan jalinan kerjasama yang lain yang akan dipersetujui dan dirunding dari masa ke semasa.

Menerusi Penyelidikan dan Pembangunan MPB akan bekerjasama dengan UiTM di dalam perkongsian ilmu dari pelbagai cabang. MPB akan bertindak sebagai bank pembekal informasi untuk UiTM.

MPB juga membantu UiTM di dalam program penyelidikannya dengan memberikan maklumat dan bantuan yang sewajarnya.

MPB juga menyediakan servis Perundingan kepada UiTM untuk terus mempromosikan jenama UiTM di dalam Negara dan di Luar Negara.

MPB akan mempromosi jenama UiTM dengan merangka pandangan masyarakat terhadap UiTM sebagai salah satu pelopor kepada institut pengajian tinggi di Malaysia.

MPB juga akan menyertai secara langsung di dalam promosi dan jenama UiTM di dalam usaha memartabatkannya sebagai pusat pengajian tinggi yang terulung di Malaysia.

Manakala melalui Latihan dan Seminar, para pelajar akan dibekalkan Siri Syarahan oleh Pihak Pengurusan Atasan di mana pihak pengurusan MPB akan memberikan syarahan kepada pelajar UiTM dengan membentangkan pelbagai topik seperti isu-isu semasa, berkaitan dengan matapelajaran serta berkongsi pengalaman, idea dan pendapat di dalam bidang kejuruteraan, media massa, penyiaran, jenama dan pemasaran, kewartawanan dan sumber manusia.

MPB turut memberi peluang kepada para pelajar UiTM menjalani latihan praktikal di MPB dengan menawarkan seramai 100 pelajar UiTM untuk tempoh setahun menjalani latihan praktikal di pelbagai jabatan di MPB selama 3 bulan termasuklah di Primework Studios Sdn Bhd.

Para pelajar akan didedahkan dengan pengalaman bekerja bersama kakitangan MPB untuk mempelajari selok belok dunia pekerjaan terutama di dalam bidang penerbitan dan penyiaran.

Pengalaman di MPB diharap dapat memberi persediaan kepada para pelajar sebelum memasuki alam pekerjaan, menyuntik pengetahuan dan pengalaman yang sesuai dengan perkembangan industri serta membina dan menyerap kualiti sebagai pemimpin di kalangan pelajar.

Para graduasi akan dilatih di dalam jabatan yang berbeza sebelum mereka diterima bekerja di MPB sekiranya berkelayakan.

Para pelajar UiTM turut ditawarkan bekerja sebagai krew bertugas di Karnival Jom Heboh, roadshows dan ground event yang lain seperti Hotfm Big Jam dan lain-lain lagi. Jabatan Sumber Manusia MPB juga akan mengadakan temuduga sekurang-kurangnya 3 kali setahun untuk mencari bakat-bakat baru di dalam sebagai pengacara dan pembaca berita.

Untuk Penerbitan, Filem dan Animasi UiTM bekerjasama dengan membantu tenaga kerja MPB di dalam memberikan cetusan idea, kretiviti dan hasil kerja untuk menjayakan penerbitan projek-projek MPB yang tertentu seperti penghasilan video korporat, montage, promo dan kempen-kempen seperti Kempen Merdeka dan Kempen Keselamatan Jalan Raya.

Lain-lain bidang yang termeterai dalam persefahaman ini termasuklah Kelab ahli My TV3 yang merupakan perhubungan pengurusan pelanggan yang pertama inisiatif TV3 turut menjalinkan usahama dengan UiTM.

Ahli My TV3 mendapat banyak faedah dan diberikan kad keahlian My TV3 yang membolehkan mereka menyertai pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh TV3.

Kini, kad keahlian My TV3 edisi istimewa akan diedarkan kepada pelajar UiTM yang berniat untuk menjadi ahli dengan memberikan faedah-feadah seperti kad keahliannya mempunyai logo UiTM, diskaun 50% yuran keahlian kepada pelajar dan keluarga mereka, diskaun sebanyak 10% -15% membeli barangan My TV3, peluang menjadi tetamu jemputan di rakaman program-program di studio dan lain-lain lagi.

My TV3 Roving Team juga akan menyertai majlis-majlis yang diadakan seperti Hari Konvokesyen UiTM, minggu karier UiTM dan minggu orientasi pelajar baru.

Artikel Berikut

Artikel Lain