Almy akui berdepan dengan kesukaran membawakan watak penggoda - foto THE STAR oleh CHAN TAK KONGMEMBAWAKAN watak penggoda adalah satu cabaran yang berat buat bintang muda, Almy Nadia. Apatah lagi karektornya di dalam filem 'Rasukan Ablasia' itu perlu menampakkan dirinya lebih seksi dan menggoda dalam keadaan mengghairahkan.Memang cukup sukar untuk dilakukan oleh gadis berusia 23 tahun ini, apatah lagi ketika penggambaran filem arahan Prof Madya A.Razak Mohaideen itu dijalankan kira-kira tiga tahun lalu, Almy masih lagi 'hijau' dalam bidang seni. Lebih 'menggerunkan' dirinya ialah ketika dia perlu menggoda Yusry KRU di dalam lif serta satu lagi babak 'panas' ketika Kim, watak yang dipegangnya itu dimasukkan di wad gila.Walaupun cukup segan dan kekok, Almy berjaya juga menangkis perasaan itu dan melakukan karektornya sehabis baik."Dalam filem ini, watak Kim sebenarnya adalah seorang gadis yang baik. Tetapi setelah dirasuk, dia bertukar menjadi penggoda. Memang saya akui amat sukar untuk saya membawakan karektor tersebut."Saya memang malu sangat pada mulanya. Bukan setakat menggoda, tetapi saya perlu jadi seksi dan banyak bermain dengan lenggok badan untuk menampakkan keseksian itu."Risau juga untuk lihat reaksi penonton kelak. Bayangkanlah ketika itu saya masih baru dalam bidang lakonan. Rasukan Ablasia adalah lakonan pertama saya sebagai tunggak utama."Tetapi saya bernasib baik kerana mendapat bimbingan Prof Razak. Kami pelakon-pelakon yang terbabit dalam filem itu diberikan motivasi dan latihan lakonan sebelum bermulanya penggambaran," kata Almy yang ditemui pada majlis prebiu filem tersebut di Cineleisure Damansara, semalam.Selain Almy, Rasukan Ablasia yang akan mula ditayangkan di pawagam-pawagam tempatan pada 26 Februari ini turut dibarisi oleh bintang baru Gambit Saifullah, Fouziah Gous, Hafiz Hanafiah dan Nurnadia.Filem ini bermula dengan sebuah tragedi 50 tahun lalu di Kampung Bukit Gemuruh, di mana Omar yang mendambakan ketaatan isterinya, Laila, memuja iblis bagi mengabulkan keinginannya.Pemujaan itu sebaliknya membuatkan isterinya bertambah curang, malah berasmara di depan mata sendiri. Dikuasai marah, Omar membunuh isteri dan pasangannya. Sebagai balasan, rumahnya dibakar penduduk kampung bersama kesesatan amalannya.Beberapa tahun kemudian, kawasan tragedi itu dikunjungi semula oleh Ashraf iaitu cucu kepada Omar dan rakan-rakannya. Mereka menemui sebuah peti milik datuk Ashraf, mengandungi alat muzik yang mengeluarkan bunyi aneh.Peti itu dibuka dan dibawa pulang, dan sejak itulah mereka menghadapi gangguan. Ashraf akhirnya terpaksa bertindak untuk menyelamatkan rakan-rakannya yang dimasukkan ke wad mental akibat diganggu rasukan gara-gara bunyi tersebut.Bercerita lanjut tentang filem itu, kata Almy lagi, selain cabaran menjadi penggoda, dia juga terpaksa berdepan dengan pengalaman sebenar dirasuk ketika penggambaran tersebut."Itu pengalaman yang menakutkan sebenarnya. Ketika itu semua pelakon sedang menjalani motivasi yang dibuat oleh Prof Razak di sebuah hutan dan disitulah saya dirasuk dan tidak sedarkan diri," tutur kekasih kepada aktor Fizz Fairuz ini.Fouziah tahan malu demi Rasukan AblasiaJika Almy akui segan dengan karektornya sebagai penggoda di dalam filem ini, lain pula dengan seorang lagi pelakon filem tersebut iaitu Fouziah Gous.Pelakon berusia 26 tahun ini juga terpaksa menahan malu apabila perlu melakukan sendiri adegan dirinya terkencing di dalam seluar gara-gara terlalu takut akibat dirasuk."Saya rasa macam 'teraniaya' betul pada awalnya bila kena berbuat demikian. Waktu itu pula saya masih baru lagi sebagai pelakon. Tetapi saya lihat semua itu dalam aspek positif."Boleh dikatakan filem ini adalah filem pertama menyaksikan saya sebagai pelakon utama. Malah, disebabkan filem inilah telah mendorong saya untuk meneruskan perjuangan saya dalam bidang ini."Prof Razak banyak memberi motivasi kepada saya dalam aspek lakonan," kata Fouziah yang memegang watak Elly dalam filem ini.Menurut aktres popular ini, dia tidak kisah lakonannya dikritik kelak memandangkan ketika filem itu dibuat, dia masih belum banyak mempelajari selok-belok lakonan."Saya akui, ketika itu saya langsung tidak mempunyai asas yang kukuh dalam bidang lakonan. Itu adalah filem pertama saya dan pastinya banyak kekurangan. Saya juga tidak begitu faham tentang teknik kamera pada waktu itu."Ditambah pula dengan karektor saya yang perlu bermain dengan pelbagai emosi, saya jadi tertekan juga pada awalnya."Apapun, jika tidak kerana bimbingan Prof Razak dulu, saya tidak pasti sama ada saya boleh lakukan dengan lebih baik hari ini," kata Fouziah.