Kapal layar yang boleh bergerak sendiri. - foto MSTAR oleh AU YEONG HOWSEEKOR belut gergasi, kapal layar yang boleh bergerak dan kota yang akan roboh apabila diserang belut adalah antara fantasi, tarikan serta magis teater 'Mana Setangginya' yang akan memulakan pementasannya mulai Sabtu ini.Bukan itu sahaja. Teater karya agung Sasterawan Negara (SN) Datuk Noordin Hassan, 80, tersebut hakikatnya menerbangkan pelakon-pelakon di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 13-21 Jun ini (tiada persembahan pada 19 Jun 2009). Mereka akan diterbangkan selama 4 minit untuk aksi yang menakjubkan ini dengan ketinggian sehingga 6 meter daripada aras lantai pentas lakonan.Para penonton pasti akan terasa seperti dibawa ke dunia Peter Pan apabila watak itu boleh terapung dan terbang ibarat pari-pari ke sana-sini.Seharum namanya 'Mana Setangginya', teater itu masyhur kerana menyuntik adegan-adegan "kekaguman" (spectacular). Pelbagai teknik dan teknologi digabungkan untuk menampilkan kesan-kesan khas ketika pementasan.Teater 'Mana Setangginya' bakal memperlihatkan satu perkembangan terbaharu dalam seni pentas Malaysia hari ini kerana aksi terbangnya julung kali mewarnai sejarah produksi teater Malaysia.Untuk tujuan itu, IB menggunakan khidmat kepakaran antarabangsa untuk aksi terbang tersebut dari Hall Associates Flying Effects, Illinois, Amerika Syarikat.Pengarah Aksi Terbangnya, William Ian Auld dari Illinois, Amerika Syarikat dalam satu temubual eksklusif baru-baru ini berkata, pihaknya akan menggunakan kabel yang paling halus untuk mencetuskan magis dalam teater itu.Menurutnya, ini adalah bagi memastikan "pari-pari" (penari-penari) kelihatan terbang tanpa bantuan kabel atau tali."Kami akan menggunakan kabel berdiameter 2.5 hingga 3 milimeter, tetapi ia boleh membawa beban 1000 pound. Kami menyukai idea fantasi, magis dan keanggunan," katanya.Tambah William, kabel yang halus tidak mendatangkan masalah keselamatan kerana rata-ratanya penari tersebut bersaiz kecil dan ringan.Jelasnya, operator (pekerja yang menarik kabel untuk menaikkan atau menurunkan penari terbang) hanya menarik berat sesuku daripada berat sebenar penari tersebut."Berat penari itu seolah-olah tidak ada langsung kerana kabel itu boleh menampung sekurang-kurangnya lima kali berat penari," ujarnya sambil menambah kabel yang sama pernah menampung seorang penari paling berat sehingga 160 kilogram (kg).Aksi menerbangkan pelakon sebelum ini pernah dibuat dalam pementasan teater bertaraf antarabangsa 'Peter Pan The Musical' dari luar negara yang pernah dipentaskan di IB pada 2007.Secara kebetulan, ia turut menggunakan khidmat Pengarah 'Aksi Terbang' yang sama.William berkata, dia merupakan operator yang menarik dan mengawal kabel agar Peter Pan "melayang" ke arah para penonton.Bagaimanapun katanya, dia kini menyerahkan tugasan menarik pari-pari ke arah penonton kepada penolongnya semasa menjayakan teater muzikal Peter Pan dua tahun lalu."Penolong saya akan menarik kabel kali ini. Tujuannya adalah untuk memindahkan kepakaran tersebut kepada rakyat negara ini. Saya hanya akan memantau operator tempatan menjalankan tugasan. Saya akan balik ke negara asal selepas semua berjalan lancar pada hari pembukaan."Fungsi saya kali ini lebih melibatkan perkara-perkara teknikal dan mekanikal," katanya yang tiba di negara ini pada 8 Jun lalu untuk memberikan latihan selama tiga hari kepada operator tempatan.Menurut William, sebanyak sembilan operator diperlukan untuk pementasan 'Mana Setangginya' dengan dua berfungsi sebagai "back-up" di belakang pentas.Katanya, dia yakin operator tempatan tersebut dapat menjalankan tugas dengan baik kerana mereka mempamerkan komitmen tinggi dan tingkah laku yang baik.Sekelumit nasihat titipan Pengarah Aksi Terbang itu: operator mestilah menggunakan daya imaginasinya untuk menjiwai "feel" (perasaan) pari-pari yang berterbangan."Pementasan teater hanya dibuat sekali di depan para penonton sedangkan aksi terbang filem boleh diulangi ataupun diedit sekiranya tidak berjaya," jelasnya.William memberitahu, dia pernah mengarahkan persembahan aksi terbang di Kuala Lumpur, Taiwan dan Manila bersama dengan Disney dan Broadway di negara asalnya.Katanya, syarikat produksinya terdapat di Amerika Syarikat Utara, Kanada, Mexico dan lain-lain.Sementara itu, Ketua Pengarah Istana Budaya (JB), Mohamad Johari Shaarani menyifatkan penggunaan aksi terbang dalam teater 'Mana Setangginya' sebagai satu transformasi teater tempatan.Katanya, aksi-aksi sedemikian sesuai untuk rakyat negara ini yang sukakan kelainan dari segi persembahan."Jika saya berada di luar negara seperti London, saya pasti menonton pementasan teater kerana ia mempunyai unsur-unsur "kekaguman" dan impaknya adalah maksimum."Saya akan mendapat idea dari situ untuk dibawa ke Istana Budaya. Walaupun aksi terbang tersebut merupakan satu cabaran besar, sebenarnya ia boleh dilakukan seperti yang dibuktikan oleh Hall Associates Flying Effects," katanya.Mohamad Johari berharap, pemindahan teknologi itu bukan sahaja membawa manfaat besar kepada Istana Budaya bahkan untuk merancakkan konsert artis-artis tempatan dan sebagainya."Ini kerana apa-apa kaedah atau peralatan canggih tersebut adalah baik untuk perkembangan industri," katanya.Ditanya apakah teknologi lain yang boleh dibawa masuk oleh IB, katanya, pihaknya perlu mempertimbangkan kos teknologi tersebut dan kewajarannya kepada IB sendiri."Kami ingin menjadikan Istana Budaya sebagai model contoh untuk organisasi lain. Malah, kita ingin menjadikan 'Mana Setangginya' sebagai Lord Of The Ring versi Malaysia di Istana Budaya," katanya.Teater Mana Setangginya diarahkan oleh pengarah teater tersohor Zaifri Husin, 43. Ia membariskan pelakon seperti Sabrina Ali, Tony Eusoff, Shaharuddin Thamby, Azizah Mahzan, Iqbal Taufik dan sebagainya.Tiket-tiket berharga RM30, RM50, RM70 dan RM100. Hubungi Istana Budaya di talian 03-4026 5558. Tempahan online dan maklumat lanjut layari www.ticket2u.biz .