suria

Zaifri tidak anggap kelemahan Sabrina cacatkan Mana Setangginya

PEMENTASAN teater 'Mana Setangginya' agak terganggu apabila melihat beberapa perkara yang dirasakan 'kurang'.

Namun secara keseluruhannya, ramai yang berpuas hati dan mengucapkan tahniah kepada tenaga produksi 'Mana Setangginya' dan pihak Istana Budaya.

Pengarah teater Mana Setangginya, Zaifri Husin berkata dia amat berpuas hati dengan pementasan itu sekaligus tidak merasakan pelakon utamanya, Sabrina Ali membuatkan teater itu hambar.

"Saya tak rasa yang dia (Sabrina) mencacatkan persembahan tetapi dia merupakan sebahagian yang menjayakan teater ini.

"Saya juga tidak akan salahkan dia kerana kita semua 'gamble' dan tidak sangka daripada menjadi seorang pelakon tv, dia boleh berlakon teater dengan baik.

"Saya rasa dia boleh pergi jauh lagi. Sabrina dah bagi yang terbaik.

"Saya juga berpuas hati dengan pelakon-pelakon lain," kata Zaifri.

Anak kelahiran Muar, Johor ini juga akui yang bakat lakonan Sabrina boleh digilap dengan latihan dalam masa yang panjang serta penguasaan teknik pentas dan lakonan.

"Masa latihan kami hanya sebulan. Saya tak mampu berinya teknik lakonan," luah Zaifri.

Tambah Zaifri, dia akui kostum, latar set, props dan lain-lain mampu membantu kejayaan teater ini kerana penonton akan menilai dari setiap segi dan bukan sekadar pelakon.

"Ada beberapa perkara yang ditawarkan untuk pementasan ini dan faktor untuk kuatkan teater adalah seperti skrip.

"Selain itu, kemunculan belut dan orang terbang juga memberi kelainan," jelasnya.

Namun, Zaifri berkata bukan mudah untuk dia membuat semua perkara itu menjadi kenyataan.

"Paling sukar untuk kerjakan adalah belut sebab ia sangat besar.

"Walaupun ia disediakan oleh anak tempatan, tetapi ia nampak berjaya.

"Belut sukar untuk dibuat kerana kami tidak tahu bagaimana nak bawa belut pergi kepada penonton kerana ia mesti lebih berkesan.

"Satu lagi cabaran untuk runtuhkan istana tetapi saya buat setakat yang boleh," ujarnya yang turut gembira apabila Datuk Noordin Hassan selaku penulis naskhah ini menyukai teater itu.

Kata Zaifri, Noordin hanya mengangguk-anggukkan kepalanya seolah-olah menyukai teater ini selepas menontonnya sehingga pukul 12 tengah malam pada dua hari lalu ketika melancarkan buku 'Mana Setangginya' di situ.

Saksikan teater 'Mana Setangginya' di Istana Budaya mulai 13 hingga 21 Jun ini, pukul 8.30 malam.

Artikel Lain