suria

Zed sertai senarai blogger 'kontroversi'?

Zed akui akan lebih berhati-hati, walaupun penulisan di blognya itu bukan dilakukan dengan niat untuk menghentam mana-mana pihak - foto THE STAR oleh AZLINA ABDULLAH
Zed akui akan lebih berhati-hati, walaupun penulisan di blognya itu bukan dilakukan dengan niat untuk menghentam mana-mana pihak - foto THE STAR oleh AZLINA ABDULLAH
Zed akui akan lebih berhati-hati, walaupun penulisan di blognya itu bukan dilakukan dengan niat untuk menghentam mana-mana pihak - foto THE STAR oleh AZLINA ABDULLAH

NAMA jejaka kacak ini tiba-tiba saja hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini. Semuanya gara-gara penulisan 'kontroversi' pelakon ini di laman blognya, yang dikatakan 'menghentam' pelakon dan pengarah muda, Syamsul Yusof.

Meskipun tuan empunya diri, Zed Zaidi telah cuba menjernihkan keadaan dengan memberi kenyataan sebenar tentang perkara itu serta memohon maaf kepada Syamsul sendiri, namun nampaknya 'kes' itu masih berlarutan.

Malah, Syamsul juga menarik diri untuk menyertai satu sesi fotografi bersama Zed di dalam sebuah akhbar mingguan baru-baru ini kerana dikatakan masih curiga dengan kemaafan yang dibuat oleh Zed.

Akui Zed, dia sedar reputasinya pasti tercalar. Malah, seboleh mungkin, dia tidak mahu lagi memanjangkan lagi isu ini yang pada pendapatnya pasti akan kembali 'panas' andai kata dia terus bercakap tentang perkara tersebut.

Apa yang berlaku, tutur Zed, akan menjadi menjadi pengajaran buat dirinya agar lebih berhati-hati, walaupun penulisannya di blog itu bukan dilakukan dengan niat untuk menghentam mana-mana pihak.

Pembabitannya sebagai anak seni selama 10 tahun ini banyak membantu Zed mengendalikan hal tersebut dengan lebih 'matang' dan profesional, walaupun akur banyak pihak menuding jari terhadap dirinya berikutan isu tersebut.

"Ini adalah cabaran yang paling besar sepanjang pembabitan saya di dalam bidang ini. Sebelum ini, saya tidak pernah berdepan dengan kontroversi macam ni. Benda dah terjadi...jadi saya kena terima jika orang menyalahkan saya.

"Biasalah, ada orang suka dengan kita, dan ada juga yang tidak suka. Lebih-lebih lagi bila masuk bidang ini, memang kita terima hakikat tentang cabaran yang perlu dilalui sebagai artis.

"Begitu juga dengan kes saya dengan Syamsul. Apapun yang berlaku, saya masih boleh bersikap profesional dengan dia. Jika bertemu dengannya di mana-mana majlis, saya tidak ada masalah untuk tegur seperti biasa," kata Zed.

Ketepikan seketika kisah kontroversi ini. Tatkala cuba 'menenangkan' keadaan akibat isu itu, Zed dikatakan 'beralih' topik di blognya itu dengan memaparkan pula kisah peribadinya untuk tatapan peminat.

Di dalam blog itu, Zed menceritakan tentang perkenalannya dengan seorang gadis dan turut meminta pendapat daripada peminat-peminatnya tentang hubungan tersebut.

Zed hanya ketawa apabila hal itu diutarakan kepadanya. Namun, apabila cuba menyelami perasaan jejaka yang bakal menginjak usia 29 tahun pada 27 Jun ini, Zed akhirnya membuka mulut jua berbicara tentang subjek 'cinta' itu.

"Sejujurnya, saya memang tengah mengenali 'seseorang'. Tapi saya sebenarnya tidak pasti tentang hubungan ini. Sebab itu saya berkongsi cerita ini dengan peminat-peminat di blog dan tanya pendapat mereka mungkinkah benar gadis itu adalah jodoh saya.

"Rasanya, tidak salah untuk saya berbuat demikian. Banyak juga komen yang saya terima dan pelbagai nasihat yang mereka berikan," ujar Zed.

Enggan berbicara lanjut tentang gadis itu, kata Zed, dia sememangnya sudah mula memikirkan tentang perkahwinan apatah lagi setelah merasakan dirinya sudah bersedia ke arah itu.

"Saya ingin berkeluarga...ingin memiliki anak sendiri. Memang saya sudah bersedia untuk menjadi suami dan bapa. Saya sering rasa sunyi dan perlukan seseorang untuk bercakap tentang banyak perkara. Tapi, jodoh belum sampai lagi.

"Ramai yang beranggapan, saya meletakkan standard yang tinggi untuk ciri-ciri gadis idaman. Saya bukan seperti itu, saya sukakan gadis yang bijak...tidak semestinya cantik," kata pemegang Ijazah Pentadbiran dan Undang-Undang dari Universiti Teknologi MARA ini.

Ligat kembangkan bisnes

Senario ekonomi yang kurang memberangsangkan ketika ini nampaknya tidak menyekat peluang Zed untuk terus mengembangkan bisnes yang sedang diterajuinya.

Tatkala rezekinya di dalam bidang lakonan masih lagi mencurah-curah, aktor ini tidak mahu mengambil sikap selesa dan lantaran itu, tetap mengambil peluang yang ada untuk melebarkan lagi bisnes tiga syarikat miliknya; D Zed Resources Sdn Bhd yang mengendalikan pelbagai jenis perniagaan antaranya maruku, produk kopi dan termasuklah pengurusan acara, DMB Kembara Sdn Bhd (membekalkan barangan peralatan di universiti) dan Bintang Dahlia Sdn Bhd (pengurusan hartanah).

Dalam kesibukannya menjalani penggambaran drama, seboleh mungkin Zed akan pastikan dirinya sentiasa mengetahui perkembangan perjalanan bisnesnya itu yang turut dibantu oleh rakan kongsinya.

"Sebelum bergelar artis lagi saya sudah berkecimpung dalam perniagaan dan saban hari, saya sentiasa akan fikirkan idea untuk terus kembangkan bisnes. Dan saya tidak nafikan, sebenarnya status sebagai artis juga menjadi platform yang baik untuk saya majukan lagi bisnes.

"Bukan ingin mempergunakan status itu, tetapi hakikatnya bila orang sudah mengenali kita, secara tidak langsung bisnes juga senang dijalankan.

"Tetapi apapun, semuanya tetap bergantung kepada 'PR skills' dan disiplin juga. Tidak kiralah di dalam bisnes mahupun industri seni sekalipun, jika kita senang berurusan dengan banyak pihak, orang akan percaya kepada kita," ujarnya yang turut menjadi pelabur kepada sebuah butik online, Damzel.

Ditanya pula tentang perkembangan aktiviti seninya, kata Zed, dia baru saja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Teratak Mahligai untuk RTM bersama pelakon-pelakon seperti Azizan Nin dan Nabila Huda.

Menurutnya, setakat ini tawaran berlakon masih banyak diterimanya termasuklah projek lakonan sempena bulan Ramadan nanti.

Artikel Sebelum