suria

Yasmin Ahmad tinggalkan satu legasi!

Tan Sri Jins sifatkan pemergian Yasmin satu kehilangan besar. -foto MSTAR oleh AU YEONG HOW
 Tan Sri Jins sifatkan pemergian Yasmin satu kehilangan besar. -foto MSTAR oleh AU YEONG HOW
Tan Sri Jins sifatkan pemergian Yasmin satu kehilangan besar. -foto MSTAR oleh AU YEONG HOW

RAKAN-RAKAN artis dan juga personaliti terkenal tanah air memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Yasmin Ahmad sebaik mendengar berita pemergian pengarah tersohor itu lewat malam semalam.

Semuanya melahirkan kesedihan dan kehilangan dengan pemergian Yasmin. Legasi yang ditinggalkan oleh penulis dan pengarah hebat Yasmin sukar dicari ganti.

Tan Sri Mohamed Jin Shamsuddin

"Kita telah kehilangan seorang yang mempunyai kebolehan dan bakat yang besar. Sama-samalah kita doakan semoga beliau ditempatkan disisi orang yang beriman. Kita jadikan ini sebagai iktibar dan kita juga harus teruskan perjuangan beliau.

Sazzy Falak

"Yasmin membuatkan kita menjadi bangga sebagai rakyat Malaysia.

"Hasil kerja agungnya berkisar kepada semangat muhibbah dan bagaimana pelbagai bangsa boleh saling menyayangi.

"Sumbangannya sangat besar dan akan menjadi ingatan kepada kita semua sampai bila-bila pun.

"Jika kita tengok kembali hasil kerjanya, kita akan sedar dia telah meninggalkan satu legasi kepada kita semua."

Maya Karin

"Walaupun saya tidak berpeluang untuk bekerja bersama beliau dalam mana-mana filemnya tetapi saya tahu dia seorang yang mempunyai peribadi baik dan disayangi oleh semua orang. Seluruh rakyat Malaysia terkejut dengan pemergianya, semoga rohnya dicucuri rahmat.

Fatimah Abu Bakar

"Dalam dunia ini mungkin ada ramai insan yang hebat-hebat, Yasmin adalah salah seorang daripada mereka. Dia bukanlah seorang yang jenis mengambil mudah dengan kerjanya kerana dia seorang yang berbakat. Dia mempunyai semangat yang tinggi dan visinya yang tersendiri sampaikan kita pun tak faham.

"Kerana itulah ramai orang yang salah anggap dengan diri Yasmin. Tetapi dia sedikitpun tidak pernah berniat jahat. Semua filem-filem arahannya berkisahkan kemaafan dan cinta kerana Yasmin sendiri dibesarkan oleh keluarganya dengan penuh kasih sayang.

Engku Emran

"Ini merupakan satu kehilangan yang besar bukan sahaja pada industri kita, malah juga pada negara. Filem-filem Yasmin juga ditonton oleh semua golongan kaum dan setiap filem dia pasti berkaitan dengan kaum-kaum yang berbeza.

"Kerana itulah sentuhan Yasmin begitu berbeza jika dibandingkan dengan pengarah-pengarah filem yang lain. Kita kehilangan seseorang yang sangat hebat, pintar dan seorang pengarah yang kreatif.

Aznil Hj Nawawi

"Saya sentiasa mengagumi hasil kerjanya(Yasmin) tetapi tidak pernah berpeluang untuk bekerja bersamanya. Yasmin bijak untuk menarik minat rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini melalui filem serta iklan yang dihasilkannya. Kali terakhir saya bertemu Yasmin ketika dia datang ke studio Radio Era untuk mempromosikan filemnya yang berjudul 'Talentime'.

"Sebelum saya menerima SMS mengenai pemergiannya, saya sudahpun merancang untuk pergi melawatnya, saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena seolah-olah menyuruh saya untuk melawatnya. Tetapi sayangnya Yasmin telah pun pergi meninggalkan kita.

Dafi

"Saya pernah bekerja dengannya dua kali, untuk pengiklanan Silky dan Earth Hour. Kita semua kehilangan seseorang yang sangat berbakat. Saya benar-benar berasa sedih kerana Yasmin seorang yang cukup istimewa. Saya bertuah dapat mengenalinya.

Othman Hafsham

"Yasmin berani meluahkan apa-apa yang terbuku dalam mindanya menerusi filem dan iklannya. Yang peliknya, buah tangannya yang dianggap 'kontroversi' lebih dihargai masyarakat luar negara berbanding masyarakat tempatan.

"Allahyarmah tidak dapat dinafikan ialah ikon kepada generasi muda hari ini."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain