suria

Erra Fazira buat bisnes kek cawan di bulan puasa

SEPANJANG Ramadan ini, penyanyi dan pelakon jelita, Erra Fazira berkata dia akan menyibukkan diri dengan perniagaan ‘cupcakes’ atau kek cawan yang dikendalikan bersama kawannya.

"Kalau dulu saya membuat bisnes hamper raya tetapi pada tahun ini saya buat bisnes ‘cupcakes’. Bisnes ni dikira bisnes ‘kawan-kawan’ sahaja dan bukannya untuk saya lebarkan sayap secara serius dalam perniagaan.

“Selain tu, dalam enam hingga tujuh hari dalam bulan puasa ini saya akan terlibat dengan penggambaran telefilem ‘Bonanza’.

“Saya juga akan membuat rakaman tiga buah lagu untuk album terbaru yang melibatkan komposer dalam dan luar negara seperti Enda dari Indonesia dan selebihnya tempatan iaitu Muhaziz dan Along Exist,” jawab Erra yang akan menyediakan persiapan raya secara ala kadar saja tahun ini.

Jelas Erra, dia tidaklah terlalu merasa teruja untuk menyambut raya kali ini dan dianggap biasa sahaja.

“Saya tak ‘feel’ nak raya sangat kerana belum fikirkan untuk mencari baju raya. Aleesya pun masih kecil dan saya akan berbelanja secara sederhana sahaja,” katanya.

Dalam perkembangan lain, primadona ini yang terkenal dengan lakonan protagonis selama bertahun-tahun turut berasa gembira kerana berpeluang membawakan watak 'hitam'.

Menerusi drama bersiri ‘Kasih Tercipta’, Erra melakonkan watak Lisa, tunang kepad Shark lakonan Aaron Aziz, yang berniat jahat dan hanya mahu membolot harta tunangnya itu.

“Sebelum saya mendapat watak ini, terlebih dulu saya berlakon dalam sebuah telefilem dengan Rashid Sibir.

“Dia kata 'watak kau jahat'. Saya terus kata Allah..tak tau boleh buat atau tak dan takut sebab tak pernah cuba.

"Tetapi selepas itu, saya beranikan diri bila Abang Rashid yakinkan yang watak jahat itu bersebab,” komen Erra mengenai watak antagonis itu.

Setelah bersetuju dan melakonkan watak Lisa dalam drama itu, bagi Erra bukan mudah kerana cabarannya tetap ada walaupun mendapat sokongan daripada semua pihak yang terlibat dalam drama yang turut dibintangi oleh aktres jelita Nasha Aziz.

Dalam drama ini Erra terpaksa bermusuh dengan Nasha yang melakonkan watak Tona yang dalam diam menyintai tunangnya.

“Untuk membawakan watak ini, saya perlu berlawan dengan diri-sendiri. Selain itu, saya juga banyak bertanya pendapat orang lain sama ada lakonan saya cukup jahat atau tidak.

“Abang Rashid juga suka cabar-cabar saya jadi saya ambil cabaran itu untuk dilakonkan dalam drama ini.

“Saya rasa penonton dah pandai menilai lakonan dan saya sendiri sudah bersedia untuk menerima kritikan mereka tentang watak ‘hitam’ saya ini.

“Apa salahnya sekali-sekala kita jahat..,” luah Erra.

Drama taruhan Astro Prima ini bakal bersiaran menerusi saluran 105, setiap Selasa, pukul 10 malam mulai 1 September ini.

Selepas berlakon karektor sisi gelap itu, Erra mengaku enggan menerima watak seperti itu lagi buat masa ini.

“Saya ingat nak rehat dulu daripada melakonkan watak jahat kerana bukan senang dan saya perlu ‘struggle’ tapi kalau watak itu lain dari lain mungkin saya akan terima seperti pembunuh bersiri.

“Saya takut sebab kalau kita tengok mana-mana sinetron mesti watak jahatnya akan jahat sungguh-sungguh sehingga perlu menjegilkan mata. Saya bukan jenis macam tu..,” jelas Erra yang turut berkongsi pengalamannya ketika berlakon dengan Nasha.

Isteri kepada Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin ini berkata dia cukup teruja dengan gandingan itu memandangkan kali terakhir mereka bertemu di set pengambaran menerusi filem Gerak Khas.

“Saya berasa seronok apabila dapat berlakon dengan Nasha kerana kami dah lama tak berlakon sekali apatah lagi dengan Aaron Aziz.

“Dua-dua ini ada magnet untuk membuatkan saya turut serta dalam drama ini,” tuturnya.

Artikel Lain