Fazli Zainal ialah bekas peserta Malaysian Idol Top 12 (2004). -Foto MSTAR SEJAK berusia 15 tahun, penyanyi balada Fazli Zainal menyambut kedatangan bulan Syawal secara bersendirian. Bukan kerana dia bekerja jauh di perantauan, tetapi kedua-dua ibu bapanya telah meninggal dunia.Peserta Malaysian Idol Top 12 (2004) itu berkata, dia ingin menghulurkan tangan dan memohon maaf zahir dan batin dengan arwah ibu bapanya di pagi hari lebaran. "Saya pasti teringatkan arwah kedua-dua ibu bapa setiap Hari Raya tetapi saya sedar Yang Esa lebih menyayangi mereka. Sejak berumur 15 hingga 32 tahun, saya beraya sendirian," kata Fazli yang tidak mempunyai adik-beradik dalam nada suara sebak.Fazli ditemui ketika bersama-sama artis-artis Farawahida, Nadia (peserta Akademi Fantasia 6) dan Nubhan memeriahkan kempen Jom Balik Kampung bersama Munchy's Di Suria FM di stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) baru-baru ini.Sebanyak 96 pemenang yang juga pendengar setia Suria FM berjaya memperolehi tiket bas balik kampung secara percuma ke Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Bharu.Mereka juga menerima duit raya bernilai RM50 serta cenderahati sumbangan Munchy's dan Suria FM.Menurut Fazli yang berasal dari Kampung Melayu, Johor Baharu, dia selalunya menyambut Hari Raya di stesen televisyen dan konti-konti radio.Untuk menghilangkan rasa rindu terhadap insan-insan tersayangnya, katanya, dia juga banyak menghabiskan masa membuat persembahan di majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim piatu."Saya dapat memahami perasaan sedih anak-anak kurang bernasib itu kerana 'cubit paha kiri, paha kanan terasa juga'," kata Fazli yang masih berstatus bujang dan dilahirkan pada 26 Disember 1977.Sekurang-kurangnya Fazli berharap lantunan suaranya sekurang-kurangnya dapat mengubat rasa rindu dan pilu anak-anak yatim piatu tersebut.Dalam banyak lagu yang dipersembahkan, Fazli memberitahu, lagu raya 'Ratapan Syawal' sangat bererti kerana ia menceritakan kisah hidupnya sebagai anak yatim piatu."Di Rumah Terbuka Astro Awani pada Hari Raya kedua nanti, saya akan bawakan lagu raya ini kepada para tetamu. Saya menulis lirik lagu itu sendiri dan komposernya, Hazami," ujarnya.Lagu raya 'Ratapan Syawal' akan dimasukkan dalam album keduanya berjudul 'Kalbu' dan ia bakal dilancarkan tidak lama lagi.Album pertama Fazli berjudul 'Harapan' (2006). Album itu dicalonkan dalam kategori Balada di Anugerah Juara Lagu ke-22 pada 2007.Para peminat Fazli turut boleh melihat idola mereka ini tampil dalam rancangan 'Malaysia Hari Ini (MHI)' menyanyikan lagu Hari Raya pada Hari Raya pertama."Tahun ini, kelainannya adalah selepas rancangan MHI, saya julung kali akan membuat persembahan di Rumah Terbuka Menteri Besar Selangor di Shah Alam Convention Centre," katanya.Tambah Fazli, dia turut muncul dalam rancangan 'Sampaikan Raya 2009' di saluran TV3. Pada Hari Raya kedua, Fazli berkata, dia akan menyanyi di Radio Bernama 24 selain menghadiri Rumah Terbuka Astro Awani."Selepas Hari Raya ini, saya akan mempromosikan single 'Suara Hati' ciptaan Sharon Paul, lirik oleh Ahmad Fitri Yahya," katanya yang julung kali bekerjasama dengan komposer Sharon Paul.Fazli menjelaskan lagu tersebut amat istimewa kerana ia mengintepretasikan kisah 'cinta monyet' suatu ketika dulu. Fazli yang masih membujang sehingga kini percaya jodoh terletak di tangan Tuhan.