suria

'Derita' Rizu (OIAM) berakhir setelah bergerak solo

Rizu akhirnya berpisah secara baik dengan syarikat rakaman Broadway Entertainment Sdn. Bhd. -Foto THE STAR oleh UU BAN
Rizu akhirnya berpisah secara baik dengan syarikat rakaman Broadway Entertainment Sdn. Bhd. -Foto THE STAR oleh UU BAN
Rizu akhirnya berpisah secara baik dengan syarikat rakaman Broadway Entertainment Sdn. Bhd. -Foto THE STAR oleh UU BAN

SETELAH enam tahun bernaung di bawah Broadway Entertainment Sdn. Bhd., peserta One In A Million (OIAM) musim ketiga Rizu akhirnya berpisah secara baik dengan syarikat rakaman tersebut.

Rizu atau nama sebenarnya, Muhammad Ridzuan Sharifuddin berkata, syarikat rakaman tersebut tidak melanjutkan kontraknya sejak dua bulan lepas.

Katanya, dia turut bersetuju untuk menamatkan kontrak tersebut agar adil bagi kedua-dua pihak.

"Selepas mengeluarkan tiga single bersama Broadway Entertainment, sudah dua atau tiga tahun tidak ada apa-apa.. (album atau single). Saya memang berasa 'menderita'.

"Bayangkan dapat Anugerah 'The Best Promising Artist' in Anugerah Industri Muzik (AIM) 2006 tetapi tiada apa-apa berita mengenai saya kerana saya tidak keluar album. Memang saya sedikit hampa," kata Rizu sambil mengeluh memikirkan nasib badannya.

Rizu bercerita mengenai kerjaya nyanyiannya ketika ditemui di sesi penggambaran selebriti bersama chef pastri Hotel Istana sempena penglibatan hotel tersebut dalam The 3rd Choc Cake Championship, baru-baru ini.

Menurut Rizu, dia bersyukur kerana Broadway Entertainment melepaskannya dengan cara baik dan dia juga menamatkan kontraknya dengan cara baik.

"Dulu, mana ada syarikat rakaman nak lepaskan artis mereka dengan begitu sahaja... susah. Alhamdulillah... kontrak kami ditamatkan secara baik.. Mereka pun faham. Jika artis nak keluarkan album, memang tak berbaloi," kata Rizu.

Bukan seperti kacang lupakan kulitnya, Rizu sangat berterima kasih kepada Broadway Entertainment kerana menawarkan kontrak kepadanya ketika dia baru berusia 15 tahun.

Lontaran vokal Rizu yang memukau dalam satu sesi uji bakat suara menyaksikan syarikat rakaman itu bersedia untuk merekrutnya sebagai artis mereka walaupun dia tidak cukup umur. Had umur adalah 18 tahun.

"Malah Broadway dengan murah hati membantu saya mengeluarkan dua single. Mereka akan bagi bajet untuk saya mempromosikan single saya. Dah lama saya menanti-nanti kemunculan single ini.

"Ramai peminat di luar tanya lelaki itu (Rizu) yang bagus vokalnya bila nak keluar single? Bukan nak tonjolkan diri sendiri, tetapi ini adalah reaksi yang saya dengar," kata Rizu yang bakal mengeluarkan single baru dalam sebulan dua ini.

Tiga single terdahulunya bersama Broadway Entertainment adalah 'Permata Kasih' pada 2006 sementara 'Teristimewa' dan 'Ratnaku (cover version)' pada 2007.

Sepanjang enam tahun bersama syarikat rakaman itu, Rizu bagaimanapun tidak pernah mengeluarkan sebarang album. Difahamkan mengikut perjanjian dalam kontrak, dia seharusnya menghasilkan satu album untuk setiap tahun.

Bercakap mengenai single terbarunya, Rizu menyasarkan single yang belum diberikan judul bakal dikeluarkan dalam sebulan dua ini.

"Tentang komposernya... itu rahsia. Minta maaf kerana ia masih dalam proses... Insya Allah, tidak lama lagi, siaplah single saya.

"Ia akan lebih kepada Pop dan R&B, kiranya genre ini belum pernah saya bawa lagi," kata Rizu yang sebelum ini lebih ke muzik genre pop kontemporari kerana menuruti konsep syarikat rakaman lamanya, iaitu Broadway Entertainment.

Ketika dia asyik menantikan kemunculan single, Rizu juga berhasrat berlakon. "Keinginan berlakon itu ada. Tidak tahu sama ada berbakat lagi atau tidak, hasrat itu memang ada," kata Rizu yang meminati pelakon handalan seperti Rosyam Noor dan Eli Suriayati.

Buat masa ini, Rizu banyak terlibat dengan aktiviti-aktiviti persembahan di majlis. Dia turut bekerjasama dengan pelawak dan pengacara Dee serta pengacara dan pengurus Juwita Jalil.

Rizu juga bergerak solo tanpa terikat dengan mana-mana syarikat rakaman.

Sementara itu, Hari Raya tahun ini yang jatuh pada 20 September lalu meninggalkan kenangan paling manis kepada Rizu. Ini kerana tarikh itu adalah hari jadi pemuda berusia 20 tahun dan dilahirkan di Kuala Lumpur ini.

"Pada Hari Raya pertama, kami ada barbeku pada waktu malam. Tiba-tiba, semua lampu ditutup. Saya terkejut melihat kek hari jadi dengan lilin bernyala diusung keluar," kata Rizu yang masih menggamit memori indah itu.

Artikel Sebelum

Siti: Datuk K hanya untuk saya..

Artikel Berikut

Artikel Lain