suria

Antara Cik Ah yang bendul dan Cik Nin yang kuat berangan!

JARANG sekali jalan cerita yang merapu dapat memikat penonton. Mujurlah lakonan bersahaja dua pendukung watak utama dan sampingan berjaya menyelamatkan drama 'Cik Ah Cik Nin' dari menjadi hambar.

Drama bersiri baru di Astro dengan tajuk 'catchy' dan senang diingat ini mempunyai elemen yang agak menarik walaupun terdapat beberapa kelemahan.

Jalan ceritanya yang mudah dan tidak berbelit-belit dimulakan dengan keakraban persahabatan dua suri rumah bernama Tom dan Kiah. Dari situ terjalin persahabatan dua anak perempuan mereka.

Anak Kiah, Cik Nin (lakonan Puteri Fatin Natasya) seorang gadis manis tinggi lampai yang kuat berangan sementara anak Tom pula ialah si lurus bendul.

Watak Cik Ah dibawa oleh Shireen Ibrahim. Gandingan dua pelakon baru ini harus diberi pujian kerana lakonan mereka yang bersahaja dan banyak membantu menghidupkan drama ini.

Dan bila gandingan inin diletakkan sebaris dengan nama pelakon senior dan popular seperti Zami Ismail, Khatijah Tan dan Pierre Andre, ianya menjadi tunggak dan kekuatan drama ini.

Skrip yang kedengaran spontan dan tidak melalut juga adalah satu lagi tarikan. Obsesi Tom pada Allahyarham Sudirman berjaya menyelitkan elemen lucu.

Cuma yang agak mencacatkan sedikit drama ini bila diterapkan unsur Bollywood dengan panjang dan berjela di dalam adegan berangan Cik Nin.

Kononnya Cik Nin bermimpi menjadi Kajol sedang bermadu asmara dengan Hrithik Roshan (lakonan Pierre Andre) sambil 'menyanyikan' lagu tema filem 'Ab Ab Laut Ki Chalen' lakonan Akshay Khanna dan Aishwarya.

Entah kenapa adegan ini perlu disulam dengan begitu lama...

Dari babak ini, diselitkan pula adegan antara dua darjat yang klise bila bapa Roshan (lakonan Radhi Khalid) dalam bahasa Pseudo Hindi dan sedikit Melayu memarahi Pierre.

Lebih parah bila dimasukkan elemen cinta tiga segi. Kesemua adegan ini bukan menjadi 'turning point' malah sebaliknya. Secara tidak sedar, ianya menunjukkan kelemahan satu kreativiti yang tidak original dan memalukan.

Rasanya tak perlulah kita mengangkat unsur Bollywood ini begitu rupa. Lagipun, bukan semua adegan berangan perlu dimasukkan elemen Bollywood dengan gaya dan lagu yang langsung tidak lucu.

Agak memualkan bila kita terus-terusan meniru bulat-bulat apa saja yang 'diimport' dari Bollywood baik lagu, gaya, pakaian dan dialog. Mungkinkah ini secara tidak sedar menyerlahkan obsesi penulis skrip terhadap apa saja yang Hindustan menjadikan 'Cik Ah Cik Nin' tempat melempiaskan segala emosi ini?

Nasib baiklah pada babak-babak lain, humor yang cuba ditonjolkan dalam drama ini tidak begitu mengecewakan. Diharap momentum drama ini akan berterusan dan 'Cik Ah Cik Nin' akan terus menjadi tumpuan setiap minggu.

Artikel Sebelum

Rina pintas kembar, Rini AF7

Artikel Berikut

Amber sedih diperdaya rakan

Artikel Lain