Yana menegaskan hubungannya dengan Erry hanya teman biasa. Tetapi akui amat selesa berkongsi cerita dengan pelakon itu - foto THE STAR oleh NORAFIFI EHSANBEBERAPA tahun lalu, pelakon dan pengarah muda ini pernah menjalinkan hubungan cinta dengan seorang lagi pengarah muda dan aktor, Pierre Andre. Namun sayangnya, hubungan tersebut gagal bertahan.Akui Norliana Samsudin yang lebih mesra dengan panggilan Yana ini, sejak cintanya dengan Pierre berakhir kira-kira empat tahun lalu, dia belum lagi menjumpai jejaka yang benar-benar berjaya 'mencuri' hatinya. Namun, kata Yana, dia juga tidak pernah 'mencari' lelaki untuk dijadikan kekasih hati. Dengan usia yang masih muda dan perjalanan hidup yang masih jauh, ujarnya, pasti satu hari nanti dia akan ketemu seseorang yang mampu menjadi teman hidupnya.Meskipun begitu, baru-baru ini, pengarah filem Selamat Pagi Cinta ini dikhabarkan semakin 'mesra' dengan pelakon Erry Putra. Ada yang merasakan dua pelakon ini dalam diam-diam sebenarnya mempunyai hubungan istimewa.Diajukan soalan tentang hubungannya dengan Erry, sambil ketawa, Yana menafikan mereka adalah pasangan kekasih. Namun, pelakon drama 3 Janda dan Bionik ini mengakui, buat masa ini, dia dan Erry memang selesa berkawan."Saya tahu, cerita ini timbul gara-gara kami berlakon sama di dalam drama Nurin Qistina. Sebenarnya, sudah banyak kali saya berlakon dengan Erry. Tapi nak dijadikan cerita, saya dan Erry pergi ke sebuah sesi fotografi bersama-sama."Dari situlah timbul cerita kami ada hubungan istimewa. Sejujurnya, saya dan Erry memang selesa antara satu sama lain. Kami sering berkongsi cerita. Entah mengapa saya rasa selesa bercakap banyak perkara dengannya dan rasa selamat bila berada dengan dia."Nak kata kami bercinta tu, tak betul lah. Kami pun baru saja berkawan baik sejak bulan Julai lalu ketika membintangi drama e-toyol."Apapun, ini bukan cinta lokasi, ya," kata Yana yang tidak lekang dengan gelak tawa saat berbicara tentang hubungannya dengan Erry.Ditanya sama ada Erry memang mempunyai kriteria lelaki idamannya, dalam nada ceria, pelakon berusia 25 tahun ini menjawab:"Dia 'ok', tapi agak misteri orangnya. Saya akui, dia adalah artis lelaki yang paling rapat dengan saya buat masa ini. Tapi setakat ini, kami tidaklah keluar bersama, cuma adakalanya menghubungi melalui telefon saja."Jika tidak pun, kami berkomunikasi menerusi Facebook. Itu saja," kata graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Layar dari UiTM Shah Alam ini.Dalam pada itu, beralih kepad perkembangan karier seninya, tutur Yana, dia bersyukur kerana sehingga hari ini, rezekinya dalam bidang lakonan nampaknya terus melimpah-ruah.Tidak mahu mendabik dada, kata Yana, selagi masih diberi kepercayaan pihak-pihak tertentu, dia akan terus memberikan yang terbaik di dalam lakonannya."Ketika ini, saya sedang menjalani penggambaran drama bersiri Cinta Balkish untuk musim kedua dan pada masa yang sama, baru saja selesai dengan panggambaran Nurin Qistina."Selepas ini, saya akan sibuk pula dengan drama bersiri Jangan Tegur Lagi yang merupakan adaptasi daripada filem Jangan Tegur."Teringin juga untuk kembali mengarah, tetapi tidak tahulah bila masa yang sesuai. Tawaran untuk mengarah filem kedua sudah ada yang diberikan oleh David Teo berjudul Cinta Alam Maya."Sebenarnya saya terfikir untuk mengarah filem itu selepas Hari Raya, tetapi nampaknya tawaran berlakon banyak yang saya dapat."Jadi saya fikir, lebih baik saya tumpukan dulu dalam bidang lakonan untuk tahun ini dan tunda dulu projek filem baru itu," kata Yana yang juga pernah menghasilkan sebuah album pada tahun 2004 berjudul Ceria.