suria

‘Suatu Ketika...Laskar Senoi’ papar pahlawan keturunan Semai

Pasukan Senoi Praaq sebelum mereka ditukarkan nama ke Pasukan Polis Orang Asli. -foto Astro
Pasukan Senoi Praaq sebelum mereka ditukarkan nama ke Pasukan Polis Orang Asli. -foto Astro
Pasukan Senoi Praaq sebelum mereka ditukarkan nama ke Pasukan Polis Orang Asli. -foto Astro

ASTRO meneruskan lagi inisiatif dan komitmennya dalam memberi sokongan terhadap memperkukuhkan nilai-nilai sejarah di kalangan rakyat Malaysia dengan mempersembahkan sebuah lagi dokumentari hebat menerusi platform Suatu Ketika yang berjudul ‘Suatu Ketika...Laskar Senoi’ pada bulan November ini.

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, “Usaha untuk memartabatkan kisah dan sejarah negara yang telah dilancarkan pada bulan Jun tahun ini semakin menampakkan sokongan apabila tayangan dokumentari terpilih pada setiap bulan mendapat sambutan hangat.

"Resipi utama yang kami gunakan untuk menghasilkan sebuah dokumentari yang lengkap dan padat dengan informasi ialah dengan mendapatkan input yang lengkap serta temuramah daripada mereka yang pernah terlibat secara langsung dengan kejadian yang dipaparkan bagi menghidupkan lagi dokumentari pilihan.

"Temuramah dan pengalaman yang diceritakan oleh mereka yang pernah terlibat dalam setiap kejadian ternyata berjaya memberi impak yang lebih mendalam kepada para penonton bagi menyelami sendiri kejadian yang pernah berlaku.

"Kekuatan dokumentari ini ialah apabila kami berjaya mendapatkan temuramah dengan Mohd Nor Abdullah atau lebih dikenali sebagai Bah Ayob, Orang Asli dari keturunan Semai di Cameron Highland yang telah bertanggungjawab dalam menubuhkan pasukan pahlawan Senoi Praaq.

"Bah Ayob merupakan ikon penting bagi penubuhan pasukan pahlawan Senoi Praaq pada ketika itu.

"Pengalaman yang diceritakan semasa temubual telah menghidupkan lagi dokumentari yang boleh dijadikan bahan rujukan sejarah untuk semua dalam bentuk visual.”

Dokumentari ini mengisahkan tentang Unit Senoi Praaq dalam Pasukan Gerakan Am yang mungkin terdengar asing bagi segelintir dari kita tetapi suatu ketika dahulu, unit ini pernah memberi sumbangan besar terhadap negara terutama dalam era darurat ketika kerajaan British dan negara berdepan dengan ancaman komunis.

Mereka memiliki kebolehan istimewa yang diwarisi dari generasi ke generasi. Kemampuan mereka mengenali alam belantara adalah sesuatu yang tidak boleh dipertikaikan. Sehebat mana pun musuh yang menghalang, mereka mampu menewaskan musuh dengan hanya berbekalkan pisau, sumpit dan lembing.

Mohd Noor Abdullah atau nama asalnya Bah Ayob, seorang Orang Asli dari keturunan Semai di Cameron Highland merupakan seorang anggota komunis paksaan sejak berusia 8 tahun lagi. Beliau berjaya melarikan diri dan dengan niat untuk membantu kerajaan, beliau telah mencadangkan penubuhan Senoi Praaq pada tahun 1955 yang akan dianggotai oleh masyarakat Orang Asli.

Pada awal penubuhan, sejumlah 10 orang asli termasuk Bah Ayob menganggotai pasukan ini dengan hanya berbekalkan dengan senjata api dan 10 butir peluru, mereka telah diarahkan untuk masuk ke dalam hutan dengan tujuan memburu komunis.

Mereka kembali dengan berita gembira apabila berjaya membunuh lebih dari 10 orang komunis dan unit ini dikembangkan dari semasa ke semasa sehinggalah diiktiraf sebagai pasukan elit untuk pasukan British.

Walaupun era darurat berakhir pada tahun 1960, namun kepakaran unit Senoi Praaq masih lagi diperlukan sehingga ini. Kini, Senoi Praaq diletakkan di bawah Jabatan Pasukan Gerakan Am, sebuah sayap dalam pasukan Polis Diraja Malaysia.

“Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia juga menyokong penerbitan dokumentari ini kerana melihat pengiktifaran yang diberikan kepada masyarakat Orang Asli amnya,” tambah Nizam lagi.

Bagi memberi kefahaman yang lebih mendalam tentang sejarah yang pernah berlaku ini, kisah perjuangan pahlawan Semai ini juga diceritakan dalam bentuk yang lebih fiksyen iaitu drama bersiri 8 episod yang berjudul ‘Suatu Ketika...Lembing & Layang’.

Drama bersiri ‘Suatu Ketika...Lembing & Layang’ dijayakan oleh pelakon-pelakon hebat seperti Natasha Hudson, Ellie Suriyati, Beto Kusyairy, Ruby (peserta Anak Wayang), Azhan Rani dan ramai lagi.

Jangan lupa untuk saksikan dokumentari hebat ‘Suatu Ketika...Laskar Senoi’ pada hari Ahad ini, 8 November 2009, jam 6.30 petang di Astro Prima dan 8 buah episod drama bersiri yang akan menceritakan semula kejadian sebenar tetapi dalam bentuk fiksyen dan membawa penonton mengimbau kembali kisah pahlawan Semai yang berani menggelar diri mereka sebagai Senoi Praaq atau Orang Perang dalam ‘Suatu Ketika...Lembing & Layang’ di Astro Citra (saluran 131) pada setiap hari Rabu dan Khamis, bermula 4 November ini, jam 9 malam.

Artikel Lain