suria

Aliff AF6 Tidak Melenting Didakwa 'Anak Ikan' Roslan Shah

Aliff berharap orang lain tidak melabelkan dirinya lelaki 'songsang' lagi selepas ini. -foto The Star oleh MOHD SAHAR MISNI
Aliff berharap orang lain tidak melabelkan dirinya lelaki 'songsang' lagi selepas ini. -foto The Star oleh MOHD SAHAR MISNI
Aliff berharap orang lain tidak melabelkan dirinya lelaki 'songsang' lagi selepas ini. -foto The Star oleh MOHD SAHAR MISNI

APABILA penyanyi dan pelakon Aliff Razali sudah rapat dengan Roslan Shah, mulalah orang menyangka yang bukan-bukan sehingga tergamak melabelkan dirinya ‘anak ikan’ kepada pengacara dan pelakon Singapura itu.

Namun, Aliff tidak cepat melenting dengan dakwaan itu kerana mengetahui siapa dirinya yang sebenar.

“Saya rapat dengan Abang Roslan atas dasar kerja kerana dia banyak tolong saya untuk mendapatkan ‘show’.

“Saya kenal dengan Abang Roslan sejak bulan puasa lalu dan dia juga yang banyak membantu saya menjual album Aliff Razali- Alaisya di Singapura.

“Mula-mula masa dia dapat tahu tentang album saya terus dia tanya (album) dah pergi Singapura ke? Selepas itu dia kata tak nak promosi album kat sana ke? Jadi, saya jawab ‘ok’.

“Dalam masa yang sama saya dibawa menjayakan ‘show’ di sana dan diundang ke stesen radio di sana.

“Selepas itu, dia selalu meletakkan nama saya dalam senarai ‘show’ yang dihoskan olehnya,” ujarnya yang agak geli hati apabila mendengar gosip ini.

Gosip ini mula tersebar luas baru-baru ini dan Roslan juga telah menafikan tentang dakwaan itu.

Walaupun tidak melenting, Aliff tetap berharap agar orang lain tidak melabelkan dirinya ‘songsang’ lagi.

“Saya tidak bernafsu dengan lelaki dan bukannya lelaki songsang. Saya tahu yang Abang Roslan seorang yang lembut tetapi saya masih menghormati dirinya.

“Lagipun saya tahu bukan senang untuk menutup mulut orang lain untuk terus berkata yang negatif tentang kami.

“Kadangkala, saya pernah juga terasa seperti hendak menjadikan mana-mana perempuan sebagai awek saya untuk menutup cerita ini.

“Buat masa ini terus-terang saya katakan yang saya masih solo tetapi ada juga tengah ‘suka-suka’ dengan kenalan perempuan yang saya jumpa.

“Kalau saya rapat dengan perempuan-perempuan ini, orang akan buat spekulasi lain pula. Kalau rapat dengan lelaki pun susah.

“Bagaimanapun, sebagai manusia, saya tetap ada perasaan untuk bercinta dan mempunyai kawan atau teman untuk bercerita.

“Tetapi buat masa ini saya lebih suka fokuskan karier seni seperti album yang baru keluar ini. Saya juga hendak tumpukan kepada keluarga sebab mak dan abah dah pencen,” luahnya.

Aliff berkata Roslan banyak membantu menaikkan namanya di Singapura. Setelah memasuki pasaran Singapura, lagu-lagu Aliff seperti 'Alaisya', '3 Malam Ada Bintang' dan 'Tiada Rasa' (duet Ika Nabella) mula diputarkan di stesen radio di sana seperti Warna dan Ria sejak Hari Raya Puasa lalu.

“Saya bersyukur kerana peminat saya semakin bertambah dan mereka boleh mendapatkan maklumat tentang aktiviti saya di laman web Aliff fc dan FaceBook saya.

“Peminat saya juga terdiri dari negara Brunei dan insya-Allah pada bulan Februari tahun depan saya, Riz, Nadia dan Nubhan akan menjayakan sebuah ‘show’ di Brunei. Show ini dikendalikan oleh pengurus Rosma dan Khai, Fizi.

“Semalam (Isnin), lagu Alaisya mula diputarkan di radio tempatan. Bagi saya, lagu itu mempunyai kelainannya tersendiri kerana mempunyai korus dalam bahasa Inggeris,” ceritanya yang turut menceburkan diri dalam dunia lakonan.

Sebelum ini, Aliff pernah berlakon telefilem ‘Pulut Terbakar’ di Astro dan ‘Gerak Khas’ di RTM.

Terbaru, dia melakonkan drama pertamanya, ‘Mak Yong’ yang akan disiarkan di RTM.

Menurut pemuda berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini, dia telah selesai penggambaran sebanyak lima episod drama itu dan berkemungkinan akan menyambung ke episod seterusnya.

“Saya melakonkan watak seorang pelajar dari Kuala Lumpur dan berhijrah ke Kelantan untuk membuat tesis tentang mak yong dan wayang kulit.

“Tiba-tiba apabila saya sampai di sana, ada sebuah sindiket melibatkan pelarian wanita dari Thailand lakonan Wan Maimunah bersama seorang anak perempuannya yang diburu oleh samseng.

“Pelarian wanita itu mempunyai hubungan saudara dengan tok guru yang mengajar wayang kulit lakonan Sabri Yunus.

“Dalam masa yang sama, anak buah tok guru itu mula cemburukan saya dan membelasah saya.

“Sejak dibelasah, saya belajar seni mempertahankan diri ‘Muay Thai’ dan cuba melawan musuh saya,” ceritanya.

Nasib baiklah Aliff pernah mendalami ilmu silat gayung Patani. Jadi tidak sukar untuk dia melakonkan watak itu.

“Bagi saya, drama ‘Mak Yong’ banyak mengajar saya menjiwai watak dan tidak dinafikan untuk berjaya menjadi seorang pelakon yang baik, saya pernah dimarahi dan dimaki oleh pengarahnya, Jurey Rosli,” ulasnya lagi.

Aliff berkata diikutkan dia juga terikat dengan sebuah filem, ‘Pahlawan Mat Kilau’ tetapi akhirnya filem itu belum dilaksanakan kerana mempunyai masalah produksi.

“Saya tak tahu apa masalahnya kerana filem arahan Rodzi Razak ini masih senyap. Saya tidaklah menghubungi mereka dan bertanyakan tentang masalahnya kerana saya hanya melakonkan watak pembantu.

“Tetapi saya agak kasihankan pelakon utama filem ini, Mohd Nizam atau lebih dikenali sebagai Nizam Mat Kilau. Dia merupakan pelakon baru dan sanggup berhenti kerja sebagai pelatih di Celebrity Fitness semata-mata hendak berlakon filem ini.

“Sekarang ini saya dapat tahu dia bekerja sebagai tok guru silat kerana dia mempunyai tauliah dalam seni mempertahankan diri,” tuturnya dalam nada tenang.

Bagaimanapun, Aliff tidak berputus asa dan tetap giat menjalankan aktiviti seninya. Terbaru, dia akan menjayakan persembahan ‘Jelajah Satu Malaysia’ mulai 30 November ini selama tiga hari di beberapa buah tempat seperti Tanjung Karang, Selangor; Ipoh , Perak; dan Kuantan, Pahang anjuran Persatuan Seniman Malaysia.

Aliff juga sempat mempromosikan albumnya dijual pada harga RM10 manakala $10 (Singapura) yang boleh dibeli melalui internet.

“Mereka yang berminat boleh menghubungi saya di [email protected]. Sekarang masih tinggal 400 keping untuk dijual kepada peminat,” katanya mengenai album yang sudah laku 600 keping itu.

Aliff berkata dia melaburkan hampir RM10,000 hasil wang simpanan dan bantuan keluarganya untuk menerbitkan album itu di bawah syarikatnya sendiri, Aliff Razali Entertainment & Trading (ARET).

Artikel Lain