suria

Nikki - Saya Rasa Lebih Cantik Selepas Berkahwin

Nikki rasa begitu bahagia setelah berkahwin dengan Audi Mok
Nikki rasa begitu bahagia setelah berkahwin dengan Audi Mok
Nikki rasa begitu bahagia setelah berkahwin dengan Audi Mok

KEMANISAN rumahtangga yang baru dikecapi penyanyi Nikki Palikat semakin dirasai oleh penyanyi kelahiran Sabah itu dan kebahagiaan yang dimilikinya hari ini terjawab di raut wajahnya.

"Saya takut hendak beri jawapan yang klise. Tapi realitinya, saya bahagia apabila bangun pagi dan melihat wajah orang kesayangan saya di sisi.

"Mungkin enam bulan terlalu awal untuk berkata semua ini tapi kebahagiaan itu semakin saya rasakan kerana saya cukup bertuah menjadi isteri Audi Mok. Dia suami yang sungguh sporting," jelas Nikki yang terkenal dengan lagu 'Caramu' itu ketika ditemui di SuriaFM baru-baru ini.

Kata Nikki, "Saya rasa lebih cantik selepas berkahwin. Saya rasa lebih dihargai sebagai wanita...."

Bagi Nikki, saat-saat bahagia di samping Audi seperti tidak puas di laluinya kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya masing-masing. Tambahan pula, Audi adalah komposer yang selalu menjadi buruan penyanyi untuk mendapatkan ciptaan lagu terbarunya.

"Kami memahami kerjaya masing-masing. Tapi suami saya lebih 'low profile' dan tidak seperti saya yang cakap banyak. Audi pendiam dan banyak tumpukan masa kepada kerjanya. Tapi dia cukup perihatin tentang makan minum saya.

"Apa saja yang membuat saya gembira, dia akan lebih gembira," kata Nikki yang berusia 23 tahun itu.

Bagi Nikki, kebahagiaan yang dikecapinya hari ini berkat doa kedua orang tuanya.

Jika dulu, bapanya, Nicholas Palikat adalah penyanyi RTM Sabah dalam tahun 70-an satu ketika dulu. Dan kini, Nikki pula dapat seorang suami yang sealiran dan satu kepala dengannya.

"He is my best friend. Kalau ada masa terluang Nikki suka main permainan komputer atau pergi ke gym.

"Nikki bersusah payah pergi ke gym untuk mendapat badan yang lebih menarik," katanya sambil ketawa kecil.

"Kehidupan selepas berkahwin ini memang seronok sebab sentiasa ada kawan baik di rumah," kata Nikki yang menganggap Audi teman karibnya.

Kata Nikki, dia mempunyai satu hobi yang baru sejak berkahwin.

"Shopping...saya boleh bershopping sampai penat. Ianya satu hobi baru saya. Suami saya hanya mendengar saja apa yang saya beli dan di mana saya beli barang-barang itu," kata Nikki.

Ditanya tentang album baru, Nikki menaruh harapan agar dapat menerbitkan album baru pada masa terdekat.

"Setelah album kedua Hawa tidak begitu mendapat sambutan, Nikki rasa sedih juga sebab Nikki sudah curahkan segala-galanya.

"Tapi Nikki tak akan berputus asa dan akan cuba lagi. Nikki merasakan yang para pendengar muzik perlu mempelbagaikan cita rasa. Barulah penggiat seni akan lebih berani buat eksperimen dalam muzik yang dihasilkan dan tak statik dalam genre atau muzik yang sama.

Ditanya tentang anak, Nikki kata dia perlu tiga tahun untuk menyiapkan diri secara mental.

"Terlalu awal. Saya ingin menikmati alam rumahtangga bersama suami dulu. Mungkin selepas 3 tahun, saya akan bersedia...," jelas Nikki sambil tergelak manja.

Artikel Lain