Yuna diramal sebagai cukup berpotensi untuk merangkul AJL24 dengan lagunya, Dan SebenarnyaBERTEMAKAN Music Unfold, pertandingan yang memartabatkan persaingan lagu-lagu nukilan anak tempatan, Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24) bakal bersiaran secara langsung pada hari Ahad, jam 9 malam di TV3. Kali ini, anugerah berprestij yang dijalankan saban tahun itu bakal menyaksikan persaingan sengit 14 lagu terbaik sepanjang tahun 2009.Ketiadaan tiga kategori lazim iaitu Pop Rock, Balada dan Etnik Kreatif & Irama Malaysia dalam AJL24, bagaimanapun dilihat tidak mencalar kelancaran anugerah tahunan ini. Malah, AJL24 dilihat cukup berbeza dan seiring dengan perubahan arus dan selera muzik semasa. Istimewanya AJL24, malam keramat untuk penggiat seni muzik tempatan ini bakal menyaksikan persaingan bukan sahaja lagu baru dan segar, malah turut didominasi penyanyi dan pemuzik generasi muda. Nescaya, ia pasti memberi kelainan pada peminat dan pemerhati muzik seluruhnya.Tidak cukup dengan nafas baru pada kapasiti lagu yang dipertandingkan, TV3 selaku penganjur dan penerbit turut menjanjikan kelainan pada konsep persembahan dan pementasan anugerah kali ini.Bayangkan kelainan yang ingin ditampilkan pihak penerbitan apabila sanggup berhabis sehingga RM2 juta untuk menerbitkan satu malam yang penuh ajaib khusus untuk meraikan industri muzik yang agak 'nazak' ini.Apa pun, nantikan saja keunikan pentas canggih yang digerakkan secara hidraulik yang bakal mementaskan kesemua peserta yang berentap malam Ahad ini.Lagu Cinta Adam & Hawa karya 'otai' AJL, Azmeer dan Allahyarham Loloq nyanyian Misha Omar bersifat unik dan tersendiri. Menerusi melodi indah dan bait-bait lirik yang puitis, lagu tersebut berpotensi untuk berjaya.Sementelah, Misha Omar dilihat cukup berpengalaman dengan pentas Juara Lagu. Harus diingat, Misha sudah beberapa kali memahat namanya di dalam arkib AJL.Lagu Bencinta juga punya kekuatan tersendiri. Alunan muzik dan lirik segar hasil kolaborasi Audi Mok dan Faizal Tahir mungkin menjanjikan saingan sengit di malam kemuncak, Ahad ini.Mengimbas kembali kejayaan Faizal di AJL23, tahun lalu, penyanyi berbakat besar ini telah membuktikan kehebatannya apabila dinobat sebagai Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik menerusi Sampai Syurga.Menyedari konsistensi Faizal, tidak mustahil penyanyi kelahiran program realiti One In A Million itu bakal menggegarkan Stadium Putra, Bukit Jalil.Aurora, karya kumpulan Estranged juga tidak boleh diperlekehkan. Menyedari pengalaman dan rekod kumpulan itu di pentas AJL22 apabila lagu Itu Kamu diangkat sebagai pilihan menjuarai kategori Pop Rock dan Juara Lagu sekaligus, tidak mustahil Estraged akan mengulangi kejayaan yang sama, kali ini.Ekoran kebangkitan muzik indie cetusan pengkarya generasi muda beberapa tahun kebelakangan ini, perhatian lebih tertumpu kepada penampilan Yuna dengan lagu keramatnya, Dan Sebenarnya yang cukup memberi impak kepada industri muzik.Jika persembahan serba ringkas dan vokal bersahaja Yuna di pentas separuh akhir sebelum ini dijadikan kayu ukur, adalah tidak mustahil untuk graduan Undang-Undang itu dinobat sebagai juara tahun ini.Bagaimana pula dengan nasib himpunan graduan Akademi Fantasia seperti Aizat, Stacy, Hafiz dan Akim menerusi pertaruhan lagu masing-masing? Masih Jelas yang bakal disampaikan oleh Hafiz adalah karya Aidit Alfian dan Ad Samad yang sudah biasa dengan gelanggang AJL.Penyanyi dan komposer berbakat besar, Aizat juga tidak boleh diketepikan. Aizat pernah melangkah ke pentas AJL23 menerusi Lagu Kita. Untuk tahun kedua penyertaannya, Aizat yang bakal tampil dengan lagu ciptaan sendiri Kau Aku dan Pergi adalah satu tarikan yang mungkin mengejutkan pentas akhir.Siapa tahu jika lagu-lagu seperti Rindu Terhenti (Tomok), Tak Mungkin Kerna Sayang (Alyah), Aku Skandal (Hujan) dan Situasi (Bunkface) akan beri kejutan malam esok.Menebak kategori Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik pula, kedua-dua kategori ini pernah diungguli peserta berpengalaman seperti Misha Omar dan Faizal Tahir sebelum ini.Misha umpamanya, menerusi lagu Bunga-Bunga Cinta (AJL18) dan Pulangkan (AJL19) pernah dipilih sebagai Vokal Terbaik untuk dua tahun berturut-turut pada AJL18 dan AJL19.Faizal juga pernah memenangi dua kategori itu di AJL23, tahun lalu. Mungkinkah Misha atau Faizal akan mengulangi kejayaan tersebut, atau mungkin peluang akan terbuka kepada pesaing lain? Semuanya akan terjawab berdasarkan persembahan dan vokal 13 peserta menerusi 14 lagu mereka esok.Seperti edisi lalu, AJL24 juga bakal dikemudi oleh gandingan tiga pengacara, Faizal Ismail, Cheryl Samad dan Ally Iskandar. Malam kemuncak AJL24 nanti turut menggunakan orkestra yang membabitkan 40 pemuzik di bawah pimpinan Ramli MS.Untuk edisi kali ini, pemenang AJL24 akan ditentukan mengikut kedudukan, iaitu Juara menerima wang tunai RM35,000, Naib Juara RM15,000 dan tempat ketiga RM12,000. Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik pula masing-masing akan menerima wang tunai RM10,000.Berikut adalah senarai lagu dan artis yang bakal bersaing di pentas AJL24 mengikut giliran persembahan:1. Aurora (Komposer/ Penulis Lirik/ Penyanyi: Estranged)2. Tak Mungkin Kerna Sayang (Komposer: Ajai/ Penulis Lirik: Habsah Hassan/ Penyanyi: Alyah)3. Cinta Adam & Hawa (Komposer: Azmeer/ Penulis Lirik: Loloq/ Penyanyi: Misha Omar)4. Masih Jelas (Komposer: Aidit Alfian/ Penulis Lirik: Ad Samad/ Penyanyi: Hafiz)5. Situasi (Komposer/ Penulis Lirik: Sam/ Penyanyi: Bunkface)6. Pakai Buang (Komposer/ Penulis Lirik: Edry/ Penyanyi: Stacy)7. Pergi (Komposer/ Penulis Lirik: Pete Teo/ Penyanyi: Aizat)8. Aku Skandal (Komposer/ Penulis Lirik: Noh/ Penyanyi: Hujan)9. Bencinta (Komposer: Audi Mok/ Penulis Lirik/ Penyanyi: Faizal Tahir)10. Aku Rindu Sayang Kamu (Komposer/ Penulis Lirik: Yuzai/ Penyanyi: Black)11. Bengang (Komposer: Amir/ Penulis Lirik: Sheikh Qalam/ Penyanyi: Akim)12. Dan Sebenarnya (Komposer/ Penulis Lirik: Yuna, Paan, Efry, Adil/ Penyanyi: Yuna)13. Kau Aku (Komposer/ Penulis Lirik/ Penyanyi: Aizat)14. Rindu Terhenti (Komposer: Aubrey Suwito/ Penulis Lirik: Tinta/ Penyanyi: Tomok)