BERPEKAN lamanya Chef Wan bersengkang mata memastikan semua urusan perkahwinan anak kesayangan Serina dan suami Gavin berjalan lancar sehingga sedar-sedar badan terasa kepenatan sekali.Tapi mujurlah ada kawan-kawan yang begitu memahami selebriti chef ini. Mereka bukan saja setakat prihatin tetapi mereka juga pastikan yang Chef Wan dapat berlibur sambil berehat dalam suasana yang tenang dan harmonis, jauh dari hiruk-pikuk kota. "Tak sangka kawan-kawan saya dari luar negara, yang datang ke majlis kahwin Serina sepakat menghadiahkan pakej percutian ke Langkawi dan Pulau Koh Lipe di Selatan Thailand."Ini sebenarnya satu 'surprise party' yang dirancang untuk saya. Kebetulan pula 6 Januari adalah hari jadi saya," jelas Chef Wan kepada mStar online.Peluang berehat dengan sahabat karib seramai 12 orang di dua pulau indah itu membuat Chef Wan terlupa seketika kepenatan menjadi bapa pengantin."Saya cukup terharu dengan sikap prihatin kawan-kawan. Mereka faham apa yang saya lalui dan ingin saya berehat sepuas-puasnya," kata tukang masak terkenal di seluruh dunia ini yang akan menghabiskan masa bercutinya sehingga Sabtu ini.Dan untungnya menjadi selebriti chef seperti Chef Wan. Dek kerana keikhlasannya melayan kawan-kawan, yang tidak kira bangsa dan keturunan, dia sendiri mendapat layanan yang hampir sama ketika percutian di Pulau Koh Lipe.Bukan saja semuanya ditanggung kawan-kawan dari makan minum dan penginapan hinggakan bermacam cenderahati diberikan sebagai tanda penghargaan kepada chef tersohor ini.Bermacam hadiah yang diterima Chef Wan seperti kemeja sutera, buku masak, leather diary, coklat, minyak wangi hinggalah ke pakej percutian lima malam ke Berlin dan menginap di JW Marriott hotel di sana.Kata Chef Wan, "Saya memang tak harapkan apa-apa dari sahabat-sahabat saya. Persahabatan yang tulus tidak mengharapkan apa-apa. Apa yang dilakukan ini mungkin atas dasar membalas apa yang saya pernah lakukan kepada mereka."Pernah satu ketika, Chef Wan membuat 'surprise party' untuk teman baiknya, Bruce, Pengurus Urusan Nokia London.Parti hari lahir Bruce telah diadakan di Pulau Redang dan Chef Wan membelanjakan lebih RM15 ribu untuk terbangkan rakan-rakan lain untuk menjadikan majlis itu begitu istimewa untuk Bruce."Tapi jangan salah sangka... sebenarnya, wang ringgit bukan satu cara untuk menunjukkan kita sayang akan seseorang. Keikhlasan berkawan adalah segalanya. Kadang-kala mendengar celoteh dan memahami segala ragam saya pun, itu satu cara menunjukkan saya disayangi. Itu bagi saya sudah memadai."Di usia begini, saya bersyukur kerana dianugerahkan hampir segalanya terutama kesihatan dan kasih sayang yang melimpah ruah dari kawan-kawan, keluarga, sanak saudara dan juga peminat."Sungguh nikmat anugerah yang tuhan kurniakan kepada saya sehingga saya selalu menitiskan airmata," kata Chef Wan yang akan muncul dalam program baru, Ekspedisi Chef Wan di TV9 mulai Selasa depan jam 10 malam.Namun, kata Chef Wan lagi, seandainya dapat dipanjatkan doa di hari lahirnya untuk meminta sesuatu, tiada hadiah yang lebih bermakna ketika meniti usia 52 tahun ini, selain dapat menimang cucu secepat mungkin."Tak kisahlah mata biru ke, lebam ke..., biar pun birat. Semuanya saya akan terima dan sayang," kata chef popular yang mempunyai dua orang anak iaitu aktres Serina dan Chef Riz.