suria

Saya Bosan Dengan Dunia Hiburan Kita- Aswad

Aswad memilih lagu yang sesuai dengan jiwanya. Foto The Star Oleh SIA HONG KIAU
 Aswad memilih lagu yang sesuai dengan jiwanya. Foto The Star Oleh SIA HONG KIAU
Aswad memilih lagu yang sesuai dengan jiwanya. Foto The Star Oleh SIA HONG KIAU

NAMA Pemenang tempat ketiga, Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Muhammad Nur Aswad Jafar atau lebih dikenali sebagai Aswad bagaikan sudah ditelan masa.

Selepas berlabuhnya tirai AF5, sedikit demi sedikit dia seolah-olah terus dilupakan, tatkala program realiti itu masih diteruskan saban tahun.

Di manakah silapnya sehingga anak muda kelahiran Pulau Mutiara ini bagaikan terkapai-kapai lemas di dalam arus dunia hiburan tanah air?

Kesempatan bertemu Aswad pada pelancaran dua buah single terbaru selepas keluar dari AF5 dua tahun lalu telah merungkai segala yang terpendam di lubuk hatinya.

Single bertajuk Nurkasih dan Akulah Bayangmu ciptaan Yankee dijadikan pertaruhan sama ada untuk terus berada dalam industri ini atau mencari haluan lain.

Katanya, bukan mudah untuk mengharungi dunia hiburan seperti yang disangkanya sewaktu berada di dalam AF5. Selepas keluar dari Maestro, segala perjalanan karier diatur sendiri.

"Tipulah kalau saya kata saya tak bosan. Saya bosan dengan dunia hiburan kita. Saya fed up disebabkan show, ditambah pula keadaan ekonomi sekarang, sebulan ada dalam dua atau tiga show sahaja.

"Saya buat percubaan untuk keluarkan single sendiri, saya nak tengok penerimaan masyarakat. Kalau berjaya mungkin akan keluar album penuh, tapi kalau gagal saya akan tarik diri dari dunia hiburan ini.

"Ini mungkin percubaan pertama dan mungkin juga yang terakhir dari saya," ujarnya yang telah membelanjakan hampir RM5,000 untuk tujuan itu.

Pemuda berusia 30 tahun ini berkata, kelewatannya tampil dengan single solo adalah disebabkan pemilihan lagu yang tidak sesuai dan terpaksa menunggu lagu lain sebagai ganti.

"Sebelum ini saya dah ada single bertajuk Naskah Cinta namun ianya tidak sesuai dengan jiwa saya, jadi saya cari lagu yang betul-betul kena dengan jiwa saya.

"Walaupun single saya berkonsep seakan-akan lagu rock 80an tapi ia sedap didengar dan sampai bila-bila pun tidak ditelan zaman macam lagu-lagu Search," ujarnya yang pernah mempunyai sebuah kumpulan bernama Xcess suatu ketika dahulu.

Bagaimanapun Aswad mengakui bukan mudah untuk mengedarkan lagu-lagu tersebut memandangkan dia sendiri tidak bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman. Jalan yang ada ialah dengan membuat pemasaran sendiri dan berharap stesen-stesen radio akan memutarkan lagunya itu.

"Saya akui memang sukar untuk edarkan dan jual single ini tapi saya akan cuba jual di internet, kawan-kawan atau melalui produk komersil andai kata saya ditawarkan sebagai duta produk tersebut.

"Saya dah buat banyak perancangan untuk jual album ini, tapi tengok macam mana nanti," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran single barunya itu di Kelana Mall, Petaling Jaya baru-baru ini

Dalam pada itu, kebahagian berumah tangga jelas terpancar di wajahnya. Aswad yang sudah hampir setahun bergelar suami kepada Nur Ilina Mohd Tahir kini bakal menimang cahaya mata sulung mereka.

"Isteri saya kini sedang mengandung tiga bulan. Dia dan keluarganya banyak memberi sokongan kepada saya untuk meneruskan perjuangan dalam bidang seni ini," ujarnya yang kini telah menetap di Kuala Lumpur.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain