suria

'Double Trouble 2' Bukan Sekadar 'Reunion'

Search dan Wings bakal gegarkan Bukit Kiara dalam konsert Double Trouble 2 pada 1 Mei depan. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH
 Search dan Wings bakal gegarkan Bukit Kiara dalam konsert Double Trouble 2 pada 1 Mei depan. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH
Search dan Wings bakal gegarkan Bukit Kiara dalam konsert Double Trouble 2 pada 1 Mei depan. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH

DUA gergasi rock tanah air, Search dan Wings menyifatkan konsert Double Trobule 2 yang bakal berlangsung pada 1 Mei depan di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort mempunyai nilai sentimental yang paling istimewa.

Ketika ditemui pada majlis sidang media konsert itu semalam, kedua-dua kumpulan ini yang kali terakhir berkongsi pentas di konsert Double Trouble pada 1993 melahirkan keterujaan masing-masing untuk beraksi di depan peminat mereka.

Menurut Amy yang mewakili kumpulan Search, konsert itu bakal memahatkan kenangan terindah bukan sahaja kepada mereka sendiri, malah lebih penting untuk para peminat yang sudah terlalu lama menantikan kolaborasi dua kumpulan ini.

"Saya anggap konsert itu bakal menjanjikan sesuatu yang indah buat semua. Ia bukan sahaja dapat menyaksikan Search dan Wings buat reunion dan beraksi di atas pentas yang sama selepas 17 tahun.

"Ia juga pasti akan jadi kenangan dan detik yang terindah buat peminat kami. Konsep dan perjalanan konsert ini direka dengan baik sekali. Saya yakin ia pasti memberi impak kepada kami sebagai pemuzik," kata Amy.

Sementara itu, vokalis Wings yang juga pelakon popular, Awie melahirkan kesyukurannya atas peluang yang diberikan oleh pihak penganjur bagi membolehkan kedua-dua kumpulan rock itu beraksi semula di atas satu pentas.

Tambah Awie, setelah begitu lama tidak tampil dengan sebuah konsert, mereka akan memastikan untuk tampil dengan sebuah konsert yang berbeza, meninggalkan impak serta paling penting, diingati oleh para peminat.

"Kita tak berani janjikan bulan dan bintang kepada peminat, tapi apa yang pasti kami akan berusaha untuk tampilkan sebuah konsert yang sangat menarik dan diingati.

"Konsert ini akan mencatat sejarahnya tersendiri kepada industri muzik tanah air. Dengan izin Tuhan, saya harap ia akan jadi sebuah konsert terbaik untuk 2010," ujar Awie.

Ketika diminta mengulas mengenai pemilihan lagu-lagu dan konsep konsert besar itu, baik Amy mahupun Awie enggan mendedahkan sebarang maklumat.

Menurut mereka, malam konsert itu bakal menyaksikan mereka mempersembahkan lagu-lagu daripada album kolaborasi sebelum ini, Double Trouble selain lagu-lagu popular kedua-dua buah kumpulan.

Bagaimanapun, konsep dan format konsert itu terpaksa dirahsiakan buat masa ini untuk memberikan kejutan kepada semua.

"Kami tak dapat huraikan lebih lanjut konsep dan bentuk persembahan untuk malam itu nanti. Ia terpaksa dirahsiakan untuk memberi kejutan pada semua.

"Apa yang pasti, kebanyakan lagu-lagu yang akan ditampilkan dipetik daripada album kolaborasi kami sebelum ini, Double Trouble dan lagu-lagu popular Wings dan Search," kata Awie.

Selain Amy dan Awie, mereka turut ditemani semua anggota asal Search dan Wings termasuklah Joe, Black, Yazid, Nasir, Din dan Eddie.

Tiket konsert yang berharga RM70 sudah mula dijual dan sehingga hari ini jualan tiket telah terjual sebanyak 1,000 keping.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain