- Foto THE STAR Oleh S.S. KANESANPENGACARA dan jelitawan Marion Caunter akan mengumumkan tarikh sebenar perkahwinannya dengan usahawan muda, SM Nasaruddin SM Nasimuddin beberapa hari sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan."Saya tidak boleh beritahu apa-apa lagi kerana sekarang masih dalam perancangan. Saya memang sibuk dengan komitmen kerja. "Bagaimanapun, saya akan mengumumkan tarikh perkahwinan apabila menghampiri tarikh perkahwinan kami," katanya kepada mStar Online.Marion ditemui selepas pelancaran program realiti cabaran mengurangkan berat badan, The Biggest Loser Asia musim kedua di Hotel Putrajaya Marriott, Selasa.Ia bakal disiarkan menerusi saluran DIVA Universal (dulu dikenali sebagai Hallmark Channel) pada setiap Selasa, pukul 9 malam mulai 21 September ini.Dia dilantik sebagai hos baru program realiti tersebut menggantikan hos musim pertama, Sarimah Ibrahim.Berhubung dengan perbandingan yang akan dibuat antara dia dan Sarimah, Marion berkata, dia hanya fokus pada tugasannya sebagai pengacara."Saya sedar orang lain akan membandingkan saya dengan Sarimah tetapi saya tidak akan memikirkannya. Ini kerana saya hanya fokus pada kerja dan para peserta," katanya.Sementara itu, Marion yang juga pengacara E! News Asia berkata, dia suka mengacarakan The Biggest Loser Asia musim kedua kerana program realiti itu mengubah gaya kehidupan para peserta."Saya tahu mereka memasukinya bukan untuk menang duit tetapi mengubah kehidupan mereka," katanya yang telah merakamkan beberapa episod dalam tempoh lebih sebulan.Dia mengakui dapat melihat perbezaan berat badan yang ketara setiap kali mereka menimbang berat badan masing-masing."Banyak peserta yang menangis kerana latihan mengurangkan berat badan memang susah. Sebagai pengacara, saya dapat rasai emosi mereka tetapi saya perlu mengawal emosi saya demi mengacarakan program ini dengan berkesan," kata Marion.